Wednesday, October 17, 2012

AUDIT 2011: PAKATAN RAKYAT ADALAH WAJAH BARU UNTUK MALAYSIA

“AUDIT 2011: PAKATAN RAKYAT ADALAH WAJAH BARU UNTUK MALAYSIA – TIMBALAN KETUA PEMUDA PAS”

01 Dzu al-Hijjah 1433 bersamaan 17 Oktober 2012

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan pencapaian kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang mendapat penarafan yang baik dan memuaskan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang telah dibentangkan sebagai satu pengiktirafan bahawa pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat adalah ‘wajah baru untuk Malaysia’.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyatakan, “Nilai keadilan sosial dan kebajikan rakyat adalah keutamaan di dalam urustadbir kewangan negara dan negeri. Dengan laporan audit ini, rakyat sewajarnya dapat menilai kemampuan dan kompetensi serta akauntabiliti yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat berbanding ketidakcekapan dan pecah amanah yang menjadi budaya UMNO dan BN sejak 55 tahun negara mencapai kemerdekaan”.


Beliau mengambil contoh kelewatan menyiapkan projek pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan yang dilaporkan mencatatkan peningkatan nilai kontrak semasa kepada RM177.76 juta, iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta. Projek jambatan baru ini telah diluluskan di dalam RMK-9 sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas dan menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna untuk menyeberangi Sungai Kelantan. Agensi pelaksana bagi projek ini ialah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), manakala Konsortium I.S Resourcers Sdn Bhd – RIS Capital Sdn Bhd telah dilantik secara rundingan terus untuk melaksanakan projek ini dalam tempoh 30 bulan iaitu dari 18 Jun 2007 hingga 17 Disember 2009 dengan kos asal RM143 juta. Bagaimanapun, projek ini telah diserah hak kepada Aneka Prestij Sdn Bhd pada bulan Mac 2010 untuk menyiapkan baki pembinaan yang gagal disiapkan setelah mendapat persetujuan daripada JKR. Namun, sehingga 31 Disember 2011, kemajuan kerja di tapak projek adalah di paras 76.5% dan pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pembinaan projek ini adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam aspek perancangan dan pelaksanaan.

Dengan begitu banyak ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku, Ustaz Nik Abduh turut mempersoalkan kewibawaan dan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) yang ditubuhkan pada 1 Januari 1991 untuk mengambilalih tugas-tugas dan peranan Pejabat Kemajuan Negeri Kelantan sebagai agensi utama menyelaras dan memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan persekutuan di Negeri Kelantan. Ternyata, JPPK gagal untuk memastikan kawalan yang rapi ke atas projek-projek persekutuan mulai daripada fasa perancangan hinggalah kepada pelaksanaan projek, dan beliau turut menuntut supaya laporan audit agensi JPPK ini turut dibentangkan kepada umum untuk dinilai.

Ustaz Nik Abduh turut memuji kejayaan agensi kerajaan Negeri Kelantan apabila 10 agensi kerajaan negeri menerima penarafan audit ‘Sangat Baik’ (4 Bintang), 10 agensi dengan penarafan ‘Baik (3 Bintang), dan 1 agensi mendapat penarafan ‘Memuaskan’ (2 Bintang), tanpa ada satu agensi pun yang diberi penarafan ‘Tidak Memuaskan’. Prestasi yang sama turut direkodkan oleh keseluruhan agensi kerajaan negeri Kedah, Selangor dan Pulau Pinang apabila tiada satu pun agensi negeri berkenaan yang mendapat penaragan ‘Tidak Memuaskan’ di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Beliau turut menyifatkan, kebajikan rakyat pasti lebih terbela apabila amanah menguruskan khazanah kewangan negara dan negeri dipikulkan ke bahu pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat yang telah diakui ketelusannnya sebagai ‘wajah baru negara Malaysia’ di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, berbanding wajah syaitan-syaitan yang dikenali.



Disediakan oleh ;
NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment