Thursday, October 18, 2012

AUDIT 2011: RAKYAT DISERU SELAMATKAN AMANAH YANG HILANG

“AUDIT 2011: RAKYAT DISERU SELAMATKAN AMANAH YANG HILANG – KETUA PEMUDA PAS”


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru  seluruh rakyat khususnya golongan muda supaya bersikap cakna dan prihatin terhadap kualiti urustadbir kewangan negara dan negeri sebagaimana yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Peranan yang dimainkan oleh pihak Ketua Audit Negara adalah sangat penting di dalam menjunjung prinsip keadilan dan hisbah (ombudsman) yang menuntut pihak kerajaan supaya mengamalkan dasar dan sistem pengurusan khazanah negara dengan amanah dan akauntabiliti yang tinggi demi menjaga dan mengawasi kemaslahatan seluruh rakyat. Laporan ini juga adalah selaras dengan peruntukan yang telah ditetapkan di dalam Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan yang mengkehendaki Ketua Audit Negara untuk mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti kementerian serta agensi kerajaan, dan mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk mendapatkan perkenan supaya laporan itu dibentangkan di Parlimen.


Menarik untuk diketahui bahawa secara keseluruhannya bagi tahun 2011, kerajaan Persekutuan telah menerima hasil berjumlah RM185 bilion, peningkatan sebanyak 16% berbanding hasil pada tahun 2010 yang berjumlah RM159.65 bilion dan ianya merupakan hasil yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun sejak tahun 2007. Walaubagaimanapun, tahap disiplin pengurusan fiskal kerajaan memerlukan komitmen reformasi yang serius dari semua peringkat. Laporan Ketua Audit Negara telah mencatatkan kerajaan telah meluluskan peruntukan mengurus berjumlah RM178 bilion yang juga merupakan peruntukan tertinggi diluluskan dalam tempoh 5 tahun, namun peruntukan tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang berjumlah RM183 bilion dan memerlukan peruntukan tambahan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 30 Mei 2012 bagi menampung defisit peruntukan tersebut.

Kerajaan Persekututan terus merekodkan kadar defisit berturut-turut sejak 1998 dan pada tahun 2011 mencatatkan defisit berjumlah RM42.5 bilion dengan nisbah kepada KDNK pada paras 4.82%, yang mana kurangan ini telah ditampung dengan pinjaman dari dalam dan luar negeri yang berjumlah RM113 bilion.

Menurut pemerhatian yang dibuat oleh Institut Polisi Studi DPPM, rakyat sewajarnya bimbang terhadap paras hutang awam yang menunjukkan graf kenaikan yang tidak sihat. Pada akhir tahun 2011, hutang kerajaan persekutuan adalah berjumlah RM456 bilion yang terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM438 bilion dan hutang luar negeri yang berjumlah RM18 bilion. In menatijahkan nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK pada paras 51.7%, peningkatan sebanyak RM49 bilion (12%) berbanding hutang pada tahun 2010 yang berjumlah RM407 bilion. Lebih membimbangkan, jika kadar hutang persekutuan ini ditambah dengan kadar pinjaman yang dijamin berjumlah RM116 juta, nisbah hutang sebenar kepada KDNK telah pun melepasi paras kritikal 65%, dan ini menuntut kepada urustadbir yang telus dan mampan untuk mengelakkan negara terjerumus ke kancah kelembapan ekonomi dan belenggu hutang.

Justeru, Pemuda PAS di semua peringkat diseru untuk menggerakkan usaha-usaha kempen dan penerangan secara tersusun di peringkat nasional dan lokal supaya rakyat dan generasi muda bangkit memperjuangkan keadilan bagi menyelamatkan  amanah yang semakin hilang di tangan segelintir pemimpin yang  alpa dan leka di dalam negara kita. Selamatkan Malaysia!

Disediakan oleh ;
NASRUDIN HASSAN  
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment