KOTA BHARU, 17 Nov — Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Mohd Nahwari Hashim, menuruti langkah beberapa bekas pemimpin tertinggi kerajaan dan menjadi ahli PAS, yang mana dilihat akan memberikan kelebihan kepada PAS dalam usaha mereka menarik sokongan pengundi.
Dipetik portal Harakahdaily, Mohd Nahwari berkata, penyertaannya ke dalam PAS disebabkan minatnya dalam agama, dan golongan sepertinya itu tidak boleh dipisahkan daripada PAS.
“Saya dah lama nak menyertai PAS ... dan hari ini secara rasmi saya menyertainya,” katanya yang pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Saya minat agama, dan tak boleh lari dah, orang minat kepada agama mesti memilih PAS.”
Borang keahliannya telah diserahkan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dengan disaksikan lebih 30,000 hadirin yang hadir dalam himpunan Merdeka Rakyat di Stadium Sultan Mohamad IV malam tadi.
Jejak Mohd Nahwari itu terlebih dahulu telah dilakukan oleh beberapa lagi pegawai tertinggi kerajaan.
Sebelum ini, tiga bekas pegawai kanan kerajaan menyerahkan borang keahlian menyertai PAS iaitu bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Abd Rahman Taib.
Manakala seorang lagi adalah bekas Pengarah Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Yusuf Hassan.
PAS dilihat semakin agresif dalam merekrut bekas kakitangan tertinggi kerajaan menyertai parti Islam itu apabila bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia turut menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu pada Jun lalu.
Ahmad Zabidi Shamsuddin telah menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mursyidul AM PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Perak.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun, dengan 10 tahun beliau diletakkan di Kementerian Pelajaran, dan pernah menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan bertugas sebagai pengetua di beberapa buah sekolah.
Malah bekas pegawai tinggi dalam angkatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari turut telah menyertai PAS dan menjadi ahli seumur hidup.
PAS dilihat mula merekrut golongan professional bekas pegawai kerajaan untuk menyertai parti tersebut bagi membolehkan mereka menerima sokongan pengundi Melayu dengan pilihan raya yang hanya berbaki enam bulan sahaja lagi sebaik sahaja mandat Barisan nasional (BN) tamat April 2013.
Sebelum Zabidi, Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof telah pun menyertai PAS awal bulan lalu.
Nik Zain telah menjawat jawatan sebagai KSU sejak 1998 hingga 2002 di kementerian tersebut.

No comments:
Post a Comment