Sunday, November 11, 2012

Dari ber'remos P Ramlee' sehingga tidak berambut, masih tidak ada pelapis

oleh Aspan Alias


Tempat yang lapang itu, dulu remos P. Ramlee.
UMNO sudah menjadi parti yang tidak berkepimpinan. Maknanya parti itu sudah kekurangan orang yang boleh memimpin. UMNO tidak pernah membina kepimpinan yang berwibawa kerana pucuk pimpinan tidak suka kepada ‘budding leaders’ kerana mereka merasakan tergugat jika yang pandai-pandai ini naik ke aras politik yang tinggi.
Apa yang pucuk pimpinan bina ialah kumpulan pengampu dan mereka tidak boleh dipanggil atau dikategorikan sebagai pelapis tetapi sebaliknya mereka hanya digunakan sebagai pelapek sahaja. Maknanya mereka di bawah-bawah hanya digunakan untuk melapek segala perbuatan mungkar dalam semua bidang termasuk politik, agama, ekonomi dan sosial rakyat.
Ahli-ahli hanya menjadi pendinding kepada pimpinan yang rasuah dan pelapek kepada segala perbuatan keji dan nesta pimpinan mereka. Contohnya, isu NFC yang terang-terang merupakan isu panas dan boleh membawa maut kepada UMNO itu, ahli-ahli UMNO di setiap peringkat membisu sahaja malahan mereka bersuara untuk mempertahankan pimpinan yang telah melakukan perbuatan yang tidak mempunyai moral pentadbiran dan politik yang asas.
Pemimpin-pemimpin di setiap peringkat inilah yang mempertahankan pucuk pimpinan dengan terus menyokong tindakan hina pimpinan kita. Inilah yang saya sebutkan tadi... Mereka hanya menjadi pelapek dan tidak menjadi pelapis kepada kepimpinan yang kotor itu.
Oleh kerana kebanyakan daripada ahli-ahli dan pimpinan di peringkat bahagian dan cawangan hanya menjadi pelapek sahaja, maka di saat parti memerlukan mereka yang berkepimpinan isu ini menjadi isu besar. Itu sebabnya di setiap kawasan Parlimen dan DUN,  UMNO terlalu bermasalah memilih calon yang sesuai dan ini merupakan masalah dan isu besar yang perlu ditangani oleh UMNO sekarang ini.
Malahan banyak negeri di Semenanjung sekarang ini, UMNO tidak mempunyai pemimpin yang ‘viable’ untuk ditonjolkan sebagai Menteri Besar jika BN diberi mandat dalam pilihanraya nanti. Ini disebabkan UMNO tidak menyemai kepimpinan, sebaliknya mereka hanya dijadikan pelapek sahaja untuk mempertahankan segala kerja buruk pimpinan mereka. Mereka di bawah-bawah hanya menjadi hulubalang sahaja dan tidak pernah terbina nilai kepimpinan di kalangan mereka.
Maka dalam pilihanraya nanti, yang akan diletakkan untuk menjadi calon adalah di kalangan pelapek-pelapek tadi dan bukannya dari golongan pelapis, kerana UMNO tidak mempunyai golongan pelapis lagi. Itu sebabnya di Jelebu misalnya, Rais Yatim tidak pernah membina kepimpinan kerana beliau (Rais) masih berselera untuk menjadi calon dan Menteri walaupun sudah begitu lama dalam kabinet. Itu sebabnya beliau (Rais) dari mempunyai ‘remos P Ramlee’ sampailah beliau sudah kehilangan banyak helaian rambutnya, Rais ini masih akan diturunkan sebagai calon kawasan Jelebu.
Di mana-mana UMNO tidak mudah untuk mendapatkan calon walaupun ramai yang berfikir mereka adalah calon-calon ‘winnable’. Mereka sebenarnya hanyalah ‘winnable’ di dalam parti yang sudah tidak ‘winnable’ lagi. Seperti Jelabu yang saya contohkan tadi, yang ada di bawah Rais di sana hanyalah pemimpin-pemimpin pelapek kepada Rais sahaja dan tidak seorang pun pemimpin pelapis dibina oleh Rais di Jelebu.
Jelebu juga seperti kawasan lain adalah kawasan-kawasan yang tidak mustahil untuk dimenangi oleh PAS selagi UMNO bahagian itu dan juga bahagian lain hanya mampu untuk menonjolkan pemimpin yang layak mereka sebagai pelapek sahaja.

Mungkin pemimpin pelapis untuk Jelebu datangnya dari PAS kali ini.

No comments:

Post a Comment