7 November 2012
ALOR SETAR - Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) mula mengagihkan bantuan pakaian dan kasut sekolah kepada pelajar miskin di seluruh negeri sebagai persediaan sesi persekolahan tahun depan.
Setiausahanya Datuk Syeikh Ghazali Yaacob berkata agihan dilakukan secara berperingkat mengikut daerah bermula dengan Kota Setar bulan lepas dan kini di Pendang dengan peruntukan RM5,000 setiap sekolah.
Di Kota Setar sebanyak 78 sekolah menerima 7,800 pasang pakaian seragam sekolah dan 3,900 pasang kasut, manakala 33 buah sekolah di Pendang menerima 3,300 pasang pakaian seragam dan 1,650 pasang kasut, katanya.
"Bantuan ini diberikan kepada pelajar miskin dari golongan asnaf yang layak sahaja," katanya selepas penyampaian Dermasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Tempatan dan Luar Negara serta penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah di Bangunan JZNK, di sini hari ini.
Beliau berkata pakaian seragam terbabit adalah hasil jahitan 16 peserta golongan asnaf dari Pusat Kemahiran Jahitan di bawah unit Agihan dan Pembangunan Asnaf JZNK.
Pada majlis itu Syeikh Ghazali turut menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada 10 penerima dari Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang.
Bagi Dermasiswa IPT tahun ini, JZNK memperuntukan RM15.5juta kepada 16,733 penerima yang diagih dari Januari hingga Oktober lepas, katanya.
Sheikh Ghazali berkata jumlah itu meningkat sebanyak RM2 juta berbanding RM13.5juta tahun yang disumbang kepada 18,078 pelajar.
Katanya dermasiswa diberikan hanya untuk tahun pertama pengajian iaitu RM800 bagi pelajar peringkat sijil, matrikulasi serta diploma dan RM1,200 bagi penuntut peringkat ijazah, sarjana dan ijazah doktor falsafah. - Bernama
No comments:
Post a Comment