Tuesday, November 6, 2012

Jamil: Tiada fatwa kafir harbi atau zimmi

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
6 November 2012
Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom 
 
KUALA LUMPUR - Sehingga hari ini tidak ada fatwa atau pandangan hukum berkaitan kedudukan orang bukan Islam di Malaysia sebagai kafir harbi atau kafir zimmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebarang fatwa dan pandangan hukum hanya boleh dikeluarkan oleh badan berautoriti iaitu Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

"Oleh itu sebarang pendapat atau pandangan hukum oleh mana-mana individu atau institusi selain dua entititi tersebut tidak boeh dianggap sebagai fatwa, sebaliknya sekadar pandangan hukum bersifat peribadi," katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi meminta menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana pihak terutamanya media yang telah menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di negara ini sebagai kafir harbi.
Presiden Pas itu juga berpendapat hukuman seumpama itu boleh menggugat ketenteraman kaum di Malaysia.

Menurut Jamil Khir, kerajaan sentiasa memantau dan mengambil berat terhadap isu-isu agama yang berbangkit di kalangan masyarakat.

"Walaupun kerajaan meyakini akan prinsip kebebasan bersuara dan memberi pandangan, namun perkara-perkara berkait dengan isu-isu agama merupakan isu sensitif bagi umat Islam.

"Tidak wajar bagi seseorang menggunakan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment