Wednesday, November 7, 2012

Kalau hendak menjadi mukmin, dugaan besar wajib dilalui..begitulah juga Jika nak lawan UMNO...

oleh Aspan Alias

Tok Guru Nik Aziz tidak mahu membuat komen terhadap isu yang diperbesarkan oleh Utusan Malaysia tentang kenyataan Nurul Izzah, Naib Presiden PKR, yang diselewengkan oleh pihak yang bermusuhan dan politik negara ini. Saya difahamkan bahawa Utusan telah menyiarkan berita kenyataan Nurul Izzah yang diselewengkan oleh akhbar arus perdana itu tentang kebebasan beragama beberapa hari yang lalu.

Kita mesti memahami yang menyiarkan berita itu adalah Utusan Malaysia dan jika akhbar itu yang menyiarkannya orang ramai sudah tidak mempercayai kredibiliti akhbar tersebut. Dalam masa yang agak kesuntukan untuk pilihanraya ini sememangnyalah Utusan akan meneruskan usahanya untuk memecahkan permuafakatan yang telah terjalin dengan erat di antara rakyat untuk membinasakan pihak syaitan dan iblis yang sememangnya sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan orang ramai itu.

Biarkan sahaja Utusan itu dibaca dan diyakini oleh mereka yang kusut pemikiran. Kita yang telah berusaha untuk memperbaiki keadaan sememangnya berwajib bersabar kerana salah satu daripada tugas untuk mencapai kemukmininan ialah dengan bersabar dengan segala dugaan yang datangnya dari agen dan ‘representative’ dari pihak iblis dan syaitan itu.

Yang terpenting bagi kita ialah untuk meneruskan perjuangan membersihkan segala keburukan yang dilakukan oleh pihak ini dan ini adalah perjuangan yang akan kita hadapi sampai akhir kalam kita. Malahan inilah perjuangan yang mula kita hadapi dari baliqhnya kita, iaitu untuk melawan iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan itu tidak akan berhenti untuk menyesatkan kita malahan itu adalah persumpahan mereka dari awal alam ini wujud.

Tengok sahaja dan fahami apa yang dilakukan oleh syaitan ini untuk menghasut Nabi Ibrahim semasa Nabi Ibrahim hendak menunaikan wahyu dan suruhan Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail. Semua syaitan-syaitan itu menyerupai manusia yang warak dan alim yang berusaha sedaya upaya mereka untuk memesongkan Nabi Ibrahim dengan mengingkari perintah Allah untuk mengorbankan anaknya.

Begitu jugalah jika kita lihat dan pandang tentang apa yang berlaku dengan Nurul Izzah sekarang ini. Dari banyak-banyak akhbar, Utusan pula yang begitu sibuk yang mencuba untuk memesongkan pandangan orang ramai terhadap Nurul dan PKR. Saya sangat menyedari betapa besarnya dugaan yang sedang dihadapi oleh keluarga ini tetapi dugaan inilah yang selalunya akan membersihkan diri untuk kemukmininan.

Mudah sahaja. Jika kita membaca Utusan mulakan dengan membaca ‘auzubillah’ banyak kali kerana kita sebenarnya tahu Utusan ini adalah sebenar-benarnya utusan dari iblis dan syaitan yang menyerupai pihak yang warak dan alim.

Sememangnya dunia ini, diwujudkan iblis untuk menduga mereka yang sedang menuju ke arah kemukmininan. Apalagi cara dugaan bagi mereka yang hendak mencari keredhoan Tuhan jika tidak dari iblis dan syaitan itu? Apabila kita berjaya melontar semua iblis dan syaitan seperti yang baru sahaja dilakukan oleh saudara Islam kita di Mina pada hari-hari tasyrik baru-baru ini.

Walaupun lontaran itu hanyalah sebagai simbolik besarnya tugas kita untuk melawan syaitan yang direjam ini tetapi apabila ia dijadikan sebagai rukun dalam ibadah Haji maka itu sudah cukup untuk memberitahu yang ingin tahu yang melawan iblis dan syaitan itu merupakan ibadah yang sangat besar yang dirukunkan oleh agama kita.

Peperangan melawan elemen syaitan di dalam semua bidang kehidupan kita adalah perkara yang sangat mulia dan untuk mendapatkan kemuliaan itu sememangnya kita akan berhadapan dengan dugaan dari iblis ini yang sentiasa menyerupai orang yang kita sayangi dan kasihi.

Bagi Nurul beliau hanya perlu meningkatkan kesabaran beliau. Saya sendiri mengenali Nurul ini sebagai pejuang yang sanggup bermatian-matian dalam usaha kita semua untuk mencari kedamaian dan keredhoan Tuhan Maha Esa itu.

Nurul akan berhadapan dengan dugaan yang lebih besar lagi terutamanya apabila pilihanraya benar-benar hampir tiba. Pimpinan PAS dan DAP telah menerima lagi banyak dugaan sejak kewujudan parti-parti itu. Ramai pemimpin-pemimpin mereka telah dipenjara dan ditahan oleh pemerintah negara, tetapi akhirnya kebenaran telah mula terlihat dan zahir sekarang ini.

Kebenaran yang sebenarnya, insyaallah akan timbul semasa pilihanraya yang akan datang. Mahu tidak mahu semua pihak mesti bersabar sampai ke tahap maksima. Tidak ada jalan senang untuk mencapai kebaikan ini. Dugaan akan datang satu demi satu sehinggalah ke akhir kalam kita. Itulah perjuangan sebenar-benar perjuangan dalam hidup kita.

Saya selalu berkata, ‘Jalan ke syurga akan penuh dengan onak dan duri, sedangkan jalan ke neraka disaluti dengan keju dan roti’.

No comments:

Post a Comment