Thursday, November 1, 2012

Kjaan Negeri : ‘Program Sawah Gemilang’ program tingkatkan hasil padi


ALOR SETAR - ‘Program Sawah Gemilang’ yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kedah adalah langkah terbaik dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil tanaman padi yang diusahakan oleh petani-petani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, YB. Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah berkata, Jabatan Pertanian Negeri Kedah telah melaksanakan Program Sawah Gemilang di Projek Kelompok Padi Kampung Tanjung Belit, Sik.

“Daerah Sik merupakan daerah pertama melaksanakan program ini di negeri Kedah. Peserta yang terlibat di dalam melaksanakan projek berkelompok ini adalah seramai 16 orang dengan keluasan 28 hektar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvensyen Peladang Peringkat Negeri Kedah Tahun 2012 di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Menurutnya, dengan usaha gigih di kalangan peserta projek berkelompok berkenaan serta pelaksanaan Sistem Pengembangan Teknologi Pertanian (SPTP) oleh Jabatan Pertanian, projek ini mampu mencapai pengeluaran hasil antara tiga hingga enam tan sehektar.

“Kita mendapati infrastruktur di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seperti sistem pengairan diberi perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan dalam usaha membantu petani-petani,” katanya.


Walaubagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri meminta agar kerajaan memberi fokus kepada infrastruktur yang sedia ada di kawasan luar MADA.

“Ini kerana petani-petani di kawasan luar MADA juga memerlukan perhatian daripada kerajaan sepertimana petani-petani di kawasan MADA dengan sistem pengairan yang lebih baik dan sempurna,” jelasnya.

Tambahnya, ‘Projek Ladang Gemilang’ turut dijalankan di negeri ini dengan keluasan sebanyak 203 hektar melibatkan seramai 296 peserta.

“Projek Ladang Gemilang ini dijalankan di Daerah Kubang Pasu, Sik, Baling dan Langkawi dalam usaha meningkatkan hasil pertanian,” katanya.

YB. Amiruddin memberitahu, Kedah Agro yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri diberi tanggungjawab dalam memberi tumpuan kepada menjayakan usaha merakyatkan projek pertanian.

“Sebelum ini, Sime Darby tidak mahu lagi terlibat dengan projek tanaman jagung manis di Bukit Tangga dan menyerahkan semula kepada Kerajaan Negeri. Oleh itu, kawasan berkenaan telah ditanam dengan tanaman nenas seluas 200 ekar,” katanya.

YB. Amiruddin menjelaskan, di kawasan berkenaan juga turut ditanam dengan tanaman betik sekaki seluas 600 hektar serta tanaman kelapa pandan dan kelapa matag seluas 700 hektar.

“Sehingga kini, sebanyak 1,252 hektar tanah milik Kerajaan Negeri diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman menjelang tahun 2015 dan kita juga turut memulihkan semula tanah terbiar dengan menjalankan projek tanaman buah-buahan,” katanya.

Kempen ‘Satu Rumah 10 Pokok Buah-buahan’ adalah langkah berkesan dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan di kalangan penduduk di kawasan luar bandar.

“Kita mendapati nangka madu, nangka mastura dan nangka tekam yelo banyak ditanam oleh penduduk melalui kempen yang dijalankan itu,” ujarnya.

Kerajaan Negeri, jelasnya, akan merasmikan semula Pusat Pengumpulan Produk Pertanian di Sungai Petani pada bulan November 2012.

“Kita juga akan menghidupkan semula projek penternakan ikan air tawar di terusan-terusan MADA di negeri ini dan kita juga mendapati projek penternakan ikan air tawar ini masih lagi dijalankan di Tokai dalam Daerah Pendang,” katanya.

Menurutnya, Konvensyen kali kedua ini diadakan sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk mengangkat bidang pertanian di negeri ini ke tahap yang lebih baik selaras dengan konsep Belanda Timur yang dilancarkan beberapa tahun lalu.

“Dalam konvensyen ini juga, peserta-peserta juga turut diberikan penerangan mengenai siput gondang emas yang menjadi musuh utama kepada tanaman padi di negeri ini,” ujarnya.

Melalui inovasi dan kajian yang dilakukan, katanya, mendapati bahawa siput gondang emas yang menjadi musuh tanaman padi boleh dijadikan sebagai makanan kepada binatang ternakan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga berharap lebih banyak kejayaan dapat dicapai khasnya dalam industri buah-buahan, akuakultur dan memproses produk makanan kerana potensi pasaran yang sangat baik.

“Semoga Konvensyen Peladang yang diadakan pada kali ini dapat memberi maklumat yang terkini serta membolehkan warga peladang, penternak dan nelayan bertukar fikiran bagi memajukan bidang masing-masing,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato’ Haji Khazali Haji Din dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Encik Ismail Salleh.

No comments:

Post a Comment