Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Saat kejatuhan yang menjelang tiba. Itulah detik yang sedang dilalui oleh parti tua yang memimpin sebuah kerajaan yang tidak pernah bertukar teraju sejak merdeka.
Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin dianggap Presiden Umno yang mendapat sokongan padu dari kalangan ahli parti, lebih padu dari sokongan yang diterima oleh Tun Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Badawi. Bezanya pada masa itu walaupun kepimpinan Umno lemah ia mendapat sokongan yang kuat dari rakyat tetapi kini; Najib kuat di dalam parti namun ahli-ahli bawahan bercelaru dan sokongan dari rakyat terhadap Umno jatuh merudum.
Jika siapapun yang berada di tempat Najib sebagai pemimpin nombor satu parti yang mendominasi kerajaan akan merasa gelisah lantaran bayangan maut sedang menghantui Umno dan BN. Kegelisahan Najib dapat disaksikan melalui pemberian ‘umpan’ secara berhabis-habisan terhadap rakyat, perkara yang tidak pernah dilakukan oleh lima Perdana Menteri sebelum ini. Tiada golongan yang tiada ditemui dan diumpani. Dari golongan muda, professional, ulamak, pendidik, wanita, peneroka, nelayan, petani, pemandu teksi, artis dan sebagainya telah ditemui dengan huluran umpan untuk membeli sokongan.
Jangan terkejut kalau selepas ini para peminta sedekah, pengutip sampah, penganggur, penagih dadah dan penjual maruah jalanan juga akan ditemui Najib untuk menagih sokongan. Orang yang sedang lemas akan berpaut kepada apa saja untuk menyelamatkan nyawa.
Semua yang dilakukan Najib itu bukan perkara baru bagi BN kerana ia juga berlaku sebelum ini. Perkara yang barunya ialah sasaran diperluaskan dan umpannya lebih banyak. Suatu hal baru yang memeningkan Najib pula ialah mutakhir ini ‘umpan dan propaganda’ tidak lagi menjanjikan pulangan.
Bagi setiap umpan yang dihulurkan rakyat akan menerimanya dengan baik sekali tetapi sokongan untuk BN belum tentu baik. Rakyat benar-benar tahu itu umpan pilihanraya. Kalau ada yang cuba berpura-pura buat tak tahu bahawa itu umpan atau cubaan ‘rasuah’ tapi dalam hati kecil tetap menafikannya. Selama 50 tahun rakyat tidak pernah menerima tunai RM500, RM250, RM200 dan RM100 tiba-tiba selepas BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan tumbang di empat negeri, maka segala jenis bantuan datang mencurah-curah.
Masalah kedua di sebalik kesedaran rakyat bahawa pemberian itu adalah ‘umpan’ untuk mengail sokongan, rakyat juga sedar bahawa duit pemberian kerajaan itu adalah bersumberkan poket rakyat juga. Ketiganya, rakyat berjaya difahamkan bahawa apa-apa pemberian yang datang dari kerajaan adalah tanggungjawab kerajaan bukan kerana sifat murah hati mereka. Maka kesedaran yang tinggi rakyat berhubung tiga isu tersebut, menyebabkan umpan yang dihulur tidak menjanjikan pulangan bagi BN.
Propaganda yang dicanang BN saban waktu juga sudah sampai ke tahap tepu bagi rakyat. Hari ini ramai yang sudah mengubah siaran TV sewaktu Buletin Utama TV3 keudara setiap malam, sebab mereka sudah muak dengan propaganda BN. Ia dibuktikan dengan rating penonton Buletin Utama TV3 yang jatuh merudum mutakhir ini. Apa saja isu yang mereka bangkitkan sama ada benar atau salah, rekaan atau berfakta, maka rakyat akan menjuih, “Itu semua propaganda BN untuk hadapi pilihanraya.” Ia mengingatkan kita kepada pengalaman yang dilalui PAS lebih 20 tahun lalu sewaktu PAS dilabelkan sebagai pemecahbelah perpaduan ummah melalui isu takfir. Setiap kali jentera penerangan memasang mikrofon dan pembesar suara maka orang kampung akan berkata, “Itulah PAS asyik memecahbelah masyarakat…” Mereka tidak memandang lagi kepada apa isu yang diperkatakan oleh penceramah. Kini tempelakan yang pernah diterima PAS, beralih kepada kepada BN. Itu kitaran alam, supaya semua dapat merasai.
Setiausaha Agong Umno Tengku Adnan Mansor dalam usaha memujuk diri sendiri berkata, sebenarnya UMNO itu tidak ada masalah, hanya parti itu menghadapi masalah persepsi sahaja dari rakyat jelata. Maksudnya mungkin rakyat menganggap Umno buruk kerana terpengaruh dengan dakwaan pembangkang walhal Umno sangat baik. Lucunya bila Umno yang membuat dakwaan seperti itu kerana sepatutnya pihak Pakatan yang merungut. BN dengan berleluasa telah menggunakan sepenuhnya jentera propaganda mereka dari jentera kerajaan yang disalahgunakan hinggalah melalui pecacai upahan di medan tetapi Umno pula yang menerima persepsi buruk.
Hakikatnya semua isu yang sedang dideritai BN ialah isu nyata seperti isu lembu NFC RM250 juta, skandal PKFZ RM12 billion, ‘sedekah politik’ RM40 juta untuk Umno Sabah, skandal anak tan Sri Nazri Aziz, skandal pembotakan hutan di Negeri Sembilan, skandal stesen LRT Ampang, kerugian dagangan matawang RM30 billion, penyelewengan oleh BN Kedah sehingga kerajaan PR kini terpaksa menanggung ‘biawak hidup’ sebanyak lebih RM350 juta – semua itu antara isu real yang tidak dapat dijawab oleh BN.
Adapun kenyataan Naib Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar isu tiada paksaan dalam agama, kenyataan Datuk Seri Anwar terhadap negara haram Israel, usaha menegakkan negara berkebajikan PAS – itu barulah persoalan persepsi kerana ia adalah tafsiran berbeza dari satu kenyataan umum.
Di saat rakyat umumnya sudah muak dengan propaganda BN ini maka inilah masanya serangan dan penjelasan terhadap rakyat oleh Pakatan perlu dilakukan berkali ganda, biar sampai ke akar umbi.
Umno dan BN sangat menyedari bahaya ini, iaitu bahaya terhadap masa depan politik mereka apabila ‘umpan dan propaganda’ sudah tidak dapat mengubah pendirian rakyat sebaliknya penjelasan dari Pakatan lebih mahu didengari.

No comments:
Post a Comment