Thursday, November 1, 2012

MB Kedah tidak akan bela pegawai rasuah

NURUL FATIHAH SULAINI
1 November 2012
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak akan membela mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dengan sebarang kegiatan rasuah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea, projek lembu serta 99 East di Langkawi.

“Biar dia (Tan Keng Liang) buat laporan, saya tak mau layan dah. Kita akan bagi kerjasama dengan SPRM, lagipun sudah banyak kali mereka datang.

“Tak kan kamu pegawai SPRM sekarang ini? Kamu wartawan…biar SPRM yang tanya,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Beliau juga bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan sebarang siasatan berhubung dakwaan kemungkinan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan.


“Saya akan terus bagi kerjasama kepada SPRM dan tidak pernah tahan mereka untuk melakukan siasatan. Sudah banyak kali kenyataan saya sebelum ini tidak akan bersama orang yang tak betul (perasuah),” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang membuat laporan SPRM di Putrajaya berhubung isu projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea.

Keng Liang berkata, banyak keraguan timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyebut terdapat pembayaran goodwill (sogokan/penghargaan) kepada vendor bagi kerja-kerja yang dilakukan di Papua New Guinea seperti meneroka tanah, melobi menteri dan tuan tanah.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan Kedah Corporation Berhad (Kedah Corp), anak syarikat Perbadanan Menteri Besar mengalami kerugian RM13.49 juta selepas pelaburan dalam projek pembalakan dan perladangan di negara itu bernilai RM31.21 juta menemui kegagalan.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata, Kedah antara negeri Pakatan Rakyat (PR) terawal yang mendesak Kerajaan Pusat menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

“Sejak dari awal lagi kita buat (minta tangguh) berbanding orang lain. Sepatutnya buat taklimat dulu baru buat keputusan, ini lepas buat keputusan baru nak adakan taklimat.

“Semua negeri PR iaitu Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang tolak (AES). Hari ini Ketua Pemuda Umno pula suruh tangguh. Dia (Khairy Jamaluddin) baru bangkit tidur,” katanya.

Dalam pada itu katanya, peruntukan Bajet 2013 dalam kebanyakan sektor akan ditambah.

No comments:

Post a Comment