Saturday, November 17, 2012

Mencorak masa depan, bagaimana?


Andainya anda ditanya, kamu mengajak kepada apa? Katakanlah, kami mengajak kepada Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Pemerintahan adalah sebahagian daripada ajarannya.

Kebebasan adalah salah satu dari tuntutannya. Jika dikatakan kepada anda. “Ini hanyalah politik”, katakan inilah dia Islam dan kami tidak tahu pembahagian seperti itu. – Hassan Al Banna

Muktamar PAS pada tahun ini berlangsung tatkala Malaysia berada di ambang PRU ke-13 namun ia bukan penghalang untuk ditangguhkan kerana agenda bermuktamar merupakan sebahagian daripada prinsip syura yang membina kejituan jatidiri perjuangan PAS, di mana ianya adalah satu medan yang sangat dinanti oleh ahli dan pimpinan yang ikhlas dalam melaksanakan kewajipan bermuhasabah dan bermusyawarah dalam suasana penuh ukhuwwah dan mahabbah.

Menghayati ucaptama Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-53 yang bertemakan ‘Mencorak Masa Depan’, ternyata ianya merupakan satu gagasan yang sangat tepat dan bersifat berpandangan jauh dalam mengemukakan kerangka bertindak kepada pemuda-pemuda dalam agenda membina sebuah negara Malaysia yang lebih sejahtera.
Tema ini diangkat bersandarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: (Katakanlah wahai orang yang beriman, agama Allah yang telah kamu anuti dan sebati dengannya ialah) Corak (yang dimuktamadkan oleh) Allah swt. dan siapakah yang lebih baik daripada Allah s.w.t. dalam memuktamadkan sesuatu corak? Dan kepadaNya kami mengabdikan diri. (Al Baqarah: 138).

Halatuju Pemuda PAS bagi tahun 2011/2013

Bengkel Halatuju DPPM yang telah diadakan pada awal sesi 2011/13 telah mengambil satu ketetapan bahawa Pemuda PAS di seluruh peringkat akan menggerakkan segala sumber yang ada ke arah mencapai lima halatuju secara kolektif iaitu:
1) Menggerakkan pendaftaran dan menguasai sokongan pengundi muda
2) Mengoptimum penggunaan media baru bagi mendominasi pemikiran rakyat
3) Menampilkan PAS sebagai parti yang prihatin dan pembela nasib rakyat
4) Membina dan menampilkan tokoh pemimpin muda negara
5) Memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan memposisikan PAS sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat.


Justeru, seluruh barisan kepimpinan Pemuda PAS di semua peringkat diseru untuk mengamalkan budaya Itqan (kualiti tinggi) dalam semua aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan, supaya agenda tarbiyah, dakwah dan siasah membuahkan hasil yang dicita-citakan,

Agenda Mencorak Generasi Al-Qawiyy Al-Amin

Pemuda PAS senantiasa komited untuk berperanan sebagai kilang melahirkan pelapis kepimpinan parti dan negara Kualiti kepimpinan dan generasi yang kita maksudkan, sewajibnya memenuhi kriteria asas Al-Quwwah dan Al-Amanah seperti yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja (untuk dibayar upah) ialah orang yang kuat, lagi amanah”. (Al Qasas: 26).

Pemuda harus sedar betapa cabaran besar terhadap dayasaing kita pada hari ini bukan lagi bersifat ‘antara-pakatan’ (inter-coalition) tetapi turut bersifat ‘sesama-pakatan’ (intra-coalition). Cabaran pasca UMNO/BN kelak lebih mencabar sifatnya kerana kita bukan lagi bersaing dengan penguasa diktator yang zalim lagi jelas kemungkarannya, tetapi kita berdepan dengan rakan dan sahabat politik yang sama-sama bersaing dengan dasar yang berbeza bagi mengisi vakum yang bakal ditinggalkan oleh regim UMNO/BN.

Ketika itu, apa yang menjadi faktor penentu terhadap jatuh-bangun PAS dalam memposisi perjuangannya sebagai gerakan tarbiyah, dakwah dan siasah, bergantung kepada kompetensi yang dipamerkan oleh kader-kader jamaah dalam mengemukakan polisi dan dasar kerajaan bagi menambat keyakinan rakyat.

Justeru, ia bukan lagi suatu pilihan tetapi kewajipan yang sangat mendesak bagi setiap individu pemuda mengasah kepakaran masing-masing, menjadi ahli dan menjuarai bidang yang diwakili, sehingga kita buktikan kepada rakyat betapa ‘malaikat tidak dikenali’ (the unknown angel) ini benar-benar mampu untuk diberikan amanah memerintah negara. Ini adalah suatu kewajipan kolektif dalam merealisasikan secara praktikal agenda ‘Islam sebagai ad-Din’ dalam ruang dan peluang demokrasi di Malaysia.

Pemuda PAS DPPM turut merakamkan ucapan tahniah kepada golongan mahasiswa di atas kebijaksanaan dan keberanian menjadi pencetus kebangkitan di kalangan warga kampus dan akademia. Kematangan mahasiswa dalam partisipasi demokrasi perlu diiktiraf sebagai pra-syarat kematangan demokrasi negara, dan ianya menuntut ruang yang terbuka untuk golongan mahasiswa menzahirkan suara dan pendapat secara rasional dan membina.

Proses pilihanraya kampus sewajarnya dijadikan ruang terbaik untuk melahirkan suasana demokrasi sihat di dalam negara, di samping ruang terbaik melahirkan pemimpin masa depan negara yang kompeten dan bertanggungjawab. Kita berkeyakinan, berkat usaha dan bimbingan cerdik pandai, gerakan mahasiswa di negara ini bakal menempa sejarah sebagai ‘Pencorak Kebangkitan Malaysia Baru’ dengan kekuatan sebagai gerakan keilmuan yang mendidik dan bersifat inklusif.

Agenda Selamatkan Malaysia

Pemuda PAS menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap realiti yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini. Selepas melepasi 50 tahun pertama kemerdekaan negara, rakyat seolah-olah menghadapi krisis yang parah, sama ada dalam aspek ekonomi, sosial dan politik yang menyebabkan hala tuju negara pada 50 tahun kedua pascamerdeka berada dalam keadaan terumbang-ambing.


Dapatan mendapati 40% daripada isirumah di Malaysia adalah berpendapatan RM1500 ke bawah, dan 80% daripada jumlah ini adalah daripada kalangan Melayu Islam. Belanjawan negara bagi tahun 2013 terus menunjukkan defisit untuk tahun ke-16 berturut-turut sejak tahun 1998 dengan hutang kerajaan berbanding KDNK mencecah paras 53% dan kian menghampiri paras kritikal 55%. Pada masa yang sama jumlah hutang isi rumah berbanding KDNK (household debt-to-GDP ratio) juga menunjukkan peningkatan yang membimbangkan di mana jumlah tersebut meningkat dari 69% pada 2006 kepada 77% pada 2011.

Atas kebertanggungjawaban terhadap realiti yang telah diungkap sebentar tadi, Pemuda PAS menginsafi amanah yang berat untuk menggerakkan gagasan perubahan mencorak masa depan rakyat dan negara berpaksikan agenda yang termaktub di dalam Dokumen Negara Berkebajikan yang dikemukakan oleh PAS, seiring bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat dengan menghayati semangat permuafakatan politik (tahalluf siyasi) dan kebersamaan di atas Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang terkandung di dalam Buku Jingga.


Pemuda PAS melihat bahawa agenda Negara Berkebajikan adalah agenda mesra anak muda. Justeru, di dalam perlaksanaan agenda Buku Jingga dan Negara Berkebajikan ini, PAS dan PR diseru untuk melaksanakan polisi ‘Penyertaan Anak Muda’ (Youth Participation) iaitu membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk berpatisipasi dalam proses membuat keputusan (decision making) di semua peringkat. Sewajarnya anak muda ini dilibatkan dalam perbincangan dan penggubalan dasar bagi mereka menyalurkan idea dan pandangan sekaligus sebagai satu pendekatan yang memberdaya (empowerment) anak muda.


Agenda Mencorak Kemenangan


Pemuda PAS menginsafi kewajipan melaksanakan tuntutan pembinaan negara (nation building) sebagai amanah mengisi kemenangan di atas jasa generasi terdahulu mencapai kemenangan.


Pada Muktamar tersebut, Pemuda PAS berbesar hati mengangkat beberapa polisi yang telah diutarakan oleh wakil-wakil profesional muda yang mewakili pelbagai disiplin ilmu bersempena Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya, untuk merealisasikan gagasan 'MENCORAK MASA DEPAN' di dalam kerangka 10 AGENDA NEGARA BERKEBAJIKAN, dalam konteks dasar dan program berkaitan bidang agama, anak muda, politik, ekonomi, sosio-ekonomi, dan kepenggunaan.

Antara yang mendapat perhatian adalah gagasan ‘Penyertaan Anak Muda’ (Youth Participation) dengan membuka ruang yang lebih luas untuk generasi muda untuk berpatisipasi dalam proses membuat keputusan (decision making) di semua peringkat. Selain itu, Pemuda PAS turut menyatakan kerisauan prestasi urustadbir ekonomi negara dan ekonomi anak muda dengan mencadangkan untuk menjamin fungsi semak dan imbang di dalam pengurusan ekonomi negara dengan memisahkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta melaksanakan sistem tender telus dan terbuka untuk setiap pemerolehan kerajaan.

Justeru, dalam melaksanakan agenda Tajdid dan Islah yang penuh mencabar ini, Pemuda PAS akan mengukuhkan peranan kumpulan pakar (expert group) di kalangan Pemuda PAS dalam agenda mengisi kemenangan dan berbesar hati menawarkan sejumlah 60 sukarelawan untuk menggalas tugas sebagai Pegawai Kajian Sukarelawan (PKS) kepada Ahli Parlimen PAS dalam membantu membahaskan dasar, undang-undang dan isu di Dewan Rakyat dalam bentuk penyediaan fakta, kajian dan analisa. Tawaran ini dikemukakan dengan mengambil kira tugasan Ahli Parlimen selaku wakil rakyat setempat (constituent) banyak dibantu oleh PAS dan Pemuda Kawasan secara tersusun, namun sokongan terhadap tugasan selaku penggubal dasar (legislative) adalah sedikit terhad dan Pemuda PAS bersedia untuk mengisi ruang dan taklifan ini.

Pemuda PAS berkeyakinan, bahawa Islam yang telah menjadi latarbelakang budaya dan cara hidup bertamadun di rantau ini sejak ratusan tahun yang lalu, perlu menjadi tonggak dan corak ke arah mewujudkan Negara Berkebajikan, sebuah pemerintahan yang beramanah, adil dan bersih.

Inilah bentuk masa depan yang dinanti seluruh generasi muda negara.



*Syahir Sulaiman merupakan EXCO Pemuda PAS. Beliau mendokong agenda Mencorak Masa Depan berasaskan gagasan Membangun Negara Berkebajikan.
17 November 2012

No comments:

Post a Comment