Putrajaya tidak bercadang hentikan saman ekor dengan pengenalan AES
Timbalan kementerian dalam negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata Putrajaya tidak akan menghentikan saman ekor oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah dikuatkuasakan.Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Abu Seman berkata pelaksanaan AES adalah dibawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan walaupun kedua-duanya merupakan agensi berbeza tetapi ia mempunyai peranan sama.
“Pendekatan sekarang yang digunakan oleh PDRM akan masih lagi dilaksanakan kerana AES akan dilaksanakan oleh JPJ,” kata Abu Seman.
Abu Seman juga menjelaskan kedua-dua kaedah akan digunakan kerana kes-kes kemalangan jalan raya yang meningkat ketika ini memerlukan pemantauan serius.
“Hari ini, kes-kes kemalangan jalan raya banya berlaku, jadi setiap agensi akan melaksanakan tugas masing-masing untuk memantau perkara ini,” terangnya lagi.
Ahli parlimen PAS, Mohd Firdaus Jaafar sebelum itu dalam soalan tambahan menyoal pihak kementerian sama ada Putrajaya akan menjalankan kedua-dua sistem saman ini secara serentak.
“Daripada jumlah saman yang dikeluarkan, hampir separuh yang bayar saman ternyata tak faham, tapi terus bayar sahaja sebab takut kena naik turun mahkamah. Kerajaan kena jelaskan bagaima ia beroperasi, bukan terus saman,” kata Mohd Firdaus.
Dalam jawapannya, Abu Seman memberitahu sebanyak 180,062 saman postal dikeluarkan sepanjang tempoh Ops Selamat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 12 hingga 26 Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 52,362 saman dapat diselesaikan.
Penggunaan AES menjadi isu dan modal yang dibangkitkan oleh PR sejak kebelakangan untuk menghentam Putrajaya sambil menyifatkan pelaksanaan tersebut hanya membebankan rakyat dan menguntungkan kroni.
Dua syarikat yang diberikan tanggungjawab dan mengendalikan kamera kontroversi tersebut ialah Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd dengan kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun.
Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar baru-baru ini menggesa pengguna jalan raya supaya tidak membayar saman yang dikeluarkan AES sebaliknya menasihati mereka untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.
“Sekarang saya mahu tanya, jika kerajaan masih enggan menangguhkan pelaksanaan AES dan menggugurkan semua saman yang dikeluarkan, semua yang menerima saman itu tidak perlu membayar kompaun RM300 itu.
“Tetapi mereka perlu mengikut arahan yang diarahkan untuk ke mahkamah,” kata beliau di Parlimen.
Dalam perkembangan lain melibatkan isu tersebut, Kementerian Pengangkutan akan merujuk kepada pegawai undang-undang dan pejabat Peguam Negara tindakan empat kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang menangguhkan pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri masing-masing.
No comments:
Post a Comment