![]() | ![]() |
BALING – Program 'Nukleus Jeruk Buah-buahan' dirancang untuk menjadikan Daerah Baling identiti baru di dalam industri jeruk buah-buahan.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, program ini adalah merupakan satu pendekatan yang praktikal untuk dijayakan sebagai sokongan kepada industri pemasaran jeruk yang telah sedia ada di daerah Baling dan Sik.
"Di daerah Baling telah wujud pengusaha membuat jeruk buah-buahan yang memerlukan produk buah-buahan segar untuk diproses dan ditambah nilai.
"Bayangkan kalau setiap rumah dapat ditanam purata 5 pokok buah-buahan, tidak kurang daripada 1,000 pokok buah-buahan baru sudah dapat ditanam oleh 200 peserta di 7 kampung yang terlibat dengan program ini," katanya.
Tambah beliau, ini secara tidak langsung dapat memberi tambahan kepada bahan mentah bagi industri jeruk serta dapat menambah pendapatan isirumah selain dapat mengatasi masalah kekurangan tanah dengan alternatif lain iaitu mengisi tanah-tanah kosong di sekitar kawasan kampung dengan buah-buahan jeruk di negeri Kedah.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Nukleus Jeruk Buah-Buahan bertempat di Dataran Kilang Kopi Cap Gantang di Kampung Mengkuang Hujung, di sini.
![]() | ![]() |
Kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan di dalam sub sektor tanaman, khususnya untuk meningkatkan pengeluaran makanan di dalam negeri serta menambah pendapatan penduduk terutamanya di kawasan luar bandar yang sebahagian besarnya adalah petani.
"Kerajaan negeri telah menetapkan matlamat untuk menjadikan negeri Kedah sebagai "Belanda Timur", di mana negeri Kedah akan menerajui dalam pengeluaran makanan yang mencukupi untuk keperluan sendiri dan lebihannya untuk tujuan eksport.
"Ianya adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk dicapai sekiranya tumpuan, pengembelingan tenaga dan usaha yang padu dilaksanakan oleh semua pihak.
"Kerajaan negeri memandang serius matlamat ini dan kini sedang giat merencanakan pelaksanaan, mempelbagaikan usaha serta menyesuaikan pendekatan yang telah dirancang bagi menjadikannya suatu kenyataan," katanya.
![]() | ![]() |
Selain itu katanya, beberapa pendekatan telah diambil oleh kerajaan negeri untuk mempelbagaikan pengeluaran makanan di dalam negeri antaranya penanaman buah-buahan seperti nanas dan betik secara besar-besaran bagi tujuan bekalan tempatan dan eksport.
"Pendekatan kita adalah bagi memastikan supaya rantaian pengeluaran, pemasaran dan aktiviti hiliran di dalam negeri adalah lengkap dan cekap," katanya.
Antara inisiatif lain yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah termasuklah mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di daerah-daerah dan yang utama di Sungai Petani.
"Impaknya sudah dapat dirasai oleh petani-petani terutamanya penanam-penanam rambutan yang telah mendapat harga yang lebih baik di samping kurangnya pembaziran akibat buah rambutan yang terbiar di pokok tidak dipetik," katanya.






No comments:
Post a Comment