Friday, December 14, 2012

Penyebaran maklumat melalui Media Digital Dalaman

ALOR SETAR -  Kerajaan Negeri akan membentangkan taklimat mengenai perlaksanaan prasarana Media Digital Dalaman (Indoor Digital Media) di premis strategik di  negeri ini dalam mesyuarat Exco.

Pengerusi Jawatankuasa Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB. Dr. Ismail Salleh berkata, taklimat itu perlu dibentangkan dalam mesyuarat Exco sebelum ia diluluskan.

“Menteri Besar telah mempersetujui cadangan itu dan kita tidak menghadapi masalah mengenai perkara itu. Apabila pembentangan itu diluluskan, kita akan menyerahkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri bagi mengenal pasti lokasi-lokasi strategik untuk pemasangan prasarana berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Taklimat Pelaksanaan Prasarana Media Digital Dalaman di Premis Strategik di Negeri Kedah di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa, Aras Lima, Blok E (Zon A), Wisma Darul Aman, di sini.

Gambar Hiasan
Menurutnya, pemasangan prasarana Media Digital Dalaman di setiap premis yang dikenal pasti, secara tidak langsung mampu mempromosikan negeri Kedah.

Sementara itu, Pengurus Besar Chester Phila Sdn Bhd, Razuan Sahan berkata, pemasangan prasarana Media Digital Dalaman adalah bertujuan bagi penyebaran maklumat dan informasi kepada seluruh warga negeri Kedah.

“Adalah dicadangkan agar Media Digital Dalaman dipasang di lokasi strategik seperti kaunter perkhidmatan pelanggan di setiap premis yang dikenal pasti,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya mensasarkan sebanyak 100 unit Media Digital Dalaman dipasang di seluruh negeri ini.

“Kaedah pelaksanaan prasarana ini ialah di mana kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak Chester Phila Sdn Bhd tanpa sebarang implikasi kepada Kerajaan Negeri Kedah,” katanya.

Tambahnya, paparan maklumat adalah secara digital dan multimedia di mana lokasi strategik akan diberikan keutamaan.

No comments:

Post a Comment