Wednesday, February 6, 2013

Ada manusia dok sabotaq dengan bakar tong sampah..agak hangpa siapa..??

Sabotaj bakar tong sampah
Wartawan Sinar Harian
6 Februari 2013
Sabotaj bakar tong sampah
Akibat tong sampah terbakar, berlaku lambakan sampah sarap di kawasan perniagaan Taman Patani Jaya, Sungai Petani Sritharan (kiri) menunjukkan kesan daripada ketiadaan tong.
 
SUNGAI PETANI - Kejadian tong sampah terbakar di Taman Patani Jaya dan Taman Keladi, Jumaat lalu dianggap sabotaj pihak tertentu yang sengaja mencetus kontroversi menjelang cuti perayaan sehingga menyebabkan pihak berkenaan terpaksa menanggung risiko ke atas insiden tersebut.

Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), P Sritharan berkata, kejadian tersebut disedari 1 Februari lalu di mana tiga tong sampah dekat Taman Patani Jaya berhadapan dengan Pasaraya Econcave dikatakan terbakar.

“Kejadian dipercayai berlaku pada sebelah malam apabila kita menerima maklumat orang awam tentang kejadian mengatakan tong sampah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sritharan berkata, kejadian sama turut dilaporkan berlaku di Taman Keladi pada hari yang sama dan sehingga kelmarin dianggarkan sebanyak enam hingga lapan tong terbakar.

“Kita percaya ia dibakar pihak tertentu dan meminta siasatan segera dilakukan berkemungkinan ia disabotaj. Tambahan pula Tahun Baru Cina akan disambut dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu mendatangkan kerugian kepada pihak konsesi memandangkan satu unit tong dianggarkan bernilai RM1,000.

“Ketiadaan tong sampah juga menyebabkan sisa buangan dari kawasan perniagaan dan perumahan dilambakkan di tepi jalan yang menimbulkan pemandangan dan bau kurang enak,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya masalah berkenaan masih berlaku, ia pasti memberi tanggapan negatif pengunjung atau pelancong luar yang datang untuk meraikan perayaan tersebut.

“Kita percaya ia sabotaj pihak tertentu kerana berlaku dalam tempoh yang sama walaupun di lokasi berbeza.

“Difahamkan, sepanjang 2012, sebanyak kira-kira 100 tong sampah terbabit dalam kes terbakar atau dibakar, kecurian dan dilaporkan hilang yang dianggarkan kerugian mencecah RM100,000 yang terpaksa ditanggung pihak konsesi,” katanya.

Beliau turut menasihati pihak yang terlibat segera menghentikan kegiatan berkenaan yang ternyata memberi impak cukup besar terhadap pembangunan bandar Sungai Petani yang sedang pesat membangun.

No comments:

Post a Comment