Wartawan: Bashah Zainol Abidin
Foto/Grafik: Tajul Arifin Kamal Baharin
Pasukan Kedah bertolak dari Alor Setar tepat jam lapan pagi tanpa ketua jurulatih Mario Tot yang di serang demam panas malam semalam, ketika tiba di perkarangan Stadium Darulaman pembantunya Antonio Sisic yang tiba dengan menaiki teksi memberitahu mereka terpaksa meneruskan perjalanan mereka tanpa Tot.
Sekali lagi barisan pemain Kedah terpaksa bersabar dan meneruskan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur yang memakan masa selama enam jam, apa yang dapat di lihat dari air muka kesemua pemain Pasukan Hijau kuning ialah mereka kelihatan ceria dan sudah dapat mengatasi kekecewaan di tangan Perlis Jumaat lalu.
Barisan pemain Kedah yang tiba di Shah Alam jam 2.30 petang hanya berehat selama dua jam sebelum mereka meneruskan latihan di Stadium UiTM Shah Alam, sehingga tujuh petang dan mereka juga menjalani segala latihan yang sudah disediakan oleh Tot dan Antonio.
Walaupun padang permainan bertakung air hujan yang turun jam empat petang tadi keadaan ini tidak melemahkan semangat kesemua pemain Kedah mengikuti segala arahan Antonio dengan ceria dan kesungguhan bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong dari Shah Alam bertemu KL SPA FC.
Menurut Antonio dia tidak mengetahui sama ada Tot akan turut bersama pasukan Kedah pada esok hari (Isnin) ataupun dia terpaksa berehat di Alor Star kerana arahan yang diterimanya ialah untuk meneruskan perjalanan bersama barisan pemain Pasukan Hijau kuning dan meneruskan segala perancangan yang telah di atur.
“Saya berharap Tot akan pulih secepat mungkin dan dapat bersama kita esok (hari ini) supaya ini akan menaikkan lagi semangat perjuangan pemain Kedah yang bertekad untuk mencuri mata penuh dari KL SPA FC setelah tercicir tiga mata berharga ketika bertemu Perlis Jumaat lalu di Stadium Darulaman.
“Kita tidak mampu kehilangan tiga mata lagi kalau kita berhasrat mahu terus menjadi pencabar utama menjuarai Liga premier musim ini dan sekaligus memastikan layak beraksi pada Liga Super musim depan kerana selain dari kemenangan kita akan ketinggalan lebih jauh lagi dari pendahulu liga, keadaan ini pasti akan mengurangkan lagi peluang kita mencapai hasrat kita sejak awal musim ini,” kata Antonio.
Kehadiran Khyril Muhymeen Zambri bersama pasukan ke Shah Alam pasti melegakan Antonio kerana ketiadaan penyerang kebangsaan begitu dirasai ketika Kedah kecundang kepada Perlis. Bukan sahaja bersama rakan sepasukan lain ke Shah Alam, malah dia juga turut serta pada sesi latihan selama sejam setengah dan tidak menampakkan sebarang kekurangan pada pergerakannya.
Ketiadaan penyerang import Chayene Santos yang terpaksa menjalani hukuman gantung sebanyak satu perlawanan setelah dia menerima tiga kad kuning sejak liga di mulakan pada 7 Januari lalu turut melemahkan barisan serangan tetapi kehadiran Khyril Muhymeen sudah pasti melegakan Antonio dan pemain Kedah sendiri kerana mengetahui ketajamannya menepati sasaran ketika berpeluang untuk berbuat demikian.
Berita yang diterima pada jam tujuh petang tadi ialah Tot akan bersama penolong pengurus pasukan Kedah, Amirul Nizam Mahadzir ke Kuala Lumpur pagi Isnin (pagi ini) dan akan berada di tepi padang ketika Kedah berdepan cabaran KL SPA FC di Shah Alam.
END.
#iamhijaukuning
© Media KFA
No comments:
Post a Comment