
Zainulfaqar
KERAJAAN Pusat baru mengumumkan diskaun dan rebat tol sebanyak lima hingga 37.5 peratus untuk kenderaan di 24 lebuh raya, termasuk Lebuh raya Utara Selatan sempena Tahun Baru Cina pada 10 dan 11 Februari depan.Rebat memang menguntungkan pengguna lebuh raya berwajib, tetapi, syarikat konsesi tol sebenarnya lebih untung.
Ini kerana, kerajaan pusat akan menggunakan duit rakyat untuk membayar diskaun tol kepada syarikat kroni kelak.
Sepatutnya pengguna Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) umpamanya bukan mendapat rebat, tapi, guna lebuh raya itu secara percuma.
Sehingga 31 Disember 2010, syarikat konsesi lebuh raya itu telah untung RM18,321 juta.
Itu berdasarkan kutipan terkumpul syarikat pengendali tol PLUS sehingga tarikh itu yang berjumlah RM24,266 juta, berbanding, kos pelaburan asal membina lebuh raya itu yang berjumlah RM5,945 juta sahaja.
Di Pulau Pinang juga begitu. Perjanjian konsesi Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang yang sepatutnya tamat pada tahun 2018 mahu dilanjutkan pada tahun 2038.
Kos pembinaan jambatan itu RM943.54 juta. Dr Mahathir jual pada syarikat kroni RM550 juta sahaja. Purata kutipan tahunan sebelum tahun 2000 berjumlah RM178 juta.
Kutipan itu jika diunjurkan lebih untung daripada harga sebenar jambatan. Trafik kereta saban tahun yang bertambah sekaligus memberi gambaran bahawa kutipan tahunan tol mustahil menyusut.
Menteri Kerjaya Raya Umno, Datuk Seri Shaziman Abu Shah sendiri dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Bagan, YAB Tuan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat sendiri tak nafi kemungkinan kadar tol di jambatan pertama dinaikkan sehingga RM9.40 selaras dengan kadar tol di jambatan kedua kelak.
Selepas tahun 2018, jika rebat setinggi 90 peratus diberikan bagi pengguna Jambatan Pertama Pulau Pinang itu kelak pun tiada maknanya kerana patut percuma kerana perjanjian sudah tamat.
Di sinilah rakyat perlu tahu bahawa kita semua sudah membayar cukai jalan. Cukai jalan itu patut digunakan untuk bina serta selenggara semua jalan raya, termasuk lebuh raya.
Kita sudah bayar cukai jalan, kenapa perlu bayar tol walaupun dengan rebat yang nyata menguntungkan syarikat kroni pemimpin negara sahaja?
Terima kasih kerajaan pusat sebab memberi rebat kepada rakyat sempena perayaan Tahun Baru Cina ini.
Terima kasih juga kepada Kerajaan Pusat sebab menguntungkan kroni syarikat-syarikat konsesi tol.
Kami, rakyat dapat rebet dua tiga ringgit, syarikat kroni dapat bayaran balik rebat dua tiga juta ringgit.
http://penanginsight.com/kolumnis/rebet-tol-rakyat-untung-dua-tiga-ringgit-kroni-untung-dua-tiga-juta-ringgit
No comments:
Post a Comment