Showing posts with label Putrajaya. Show all posts
Showing posts with label Putrajaya. Show all posts

Wednesday, September 19, 2012

Pakatan: Tidak perlu ragui keupayaan kami memerintah

 
KUALA LUMPUR, 19 Sept — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yakin mereka sudah bersedia untuk memerintah negara ini sekiranya memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang yang perlu dilaksanakan sehingga April depan sebaik sahaja mandat Barisan Nasional (BN) tamat.

Gabungan antara DAP-PAS-PKR itu beranggapan bukti yang mencukupi sudah ditunjukkan di empat negeri pimpinan mereka — Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan — yang mana turut diiktiraf oleh Laporan Audit dari Ketua Audit Negara sejak tiga tahun mereka menguasai negeri-negeri tersebut kecuali Kelantan selepas pilihan raya umu 2008 yang turut menyaksikan BN tewas dua pertiga majoriti Parlimen.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan trek rekod kerajaan PR di negeri-negeri tersebut  merupakan bukti kukuh dan tiada pihak yang perlu meragui mereka.

“Saya rasa apa yang lebih penting adalah kewibawaan dan trek rekod yang Pakatan telah buktikan di negeri yang diperintah ... itu adalah aset yang berharga dan integriti yang ditunjukkan kerajaan PR.



Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan trek rekod kerajaan PR di negeri-negeri tersebut merupakan bukti kukuh dan tiada pihak yang perlu meragui mereka.
“Kita telah lahirkan ramai pemimpin yang berkualiti dan boleh dipercayai, tiada penyalahgunaan dan penyelewengan seperti mana pemimpin BN,” tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi kepada The Malaysian Insider dan menambah berbangga dengan ketua menteri dan menteri besar di negeri-negeri tersebut.
“Tiga tahun berturut-turut Laporan Ketua Audit Negara sahkan kami mentadbir dengan baik.”

Semalam, pemerhati politik menyatakan keraguan mereka bahawa PR masih lagi belum bersedia memandangkan terdapat lagi beberapa perkara yang tidak diselesaikan pakatan pembangkang tersebut, antaranya isu Hudud dan juga kabinet bayangan mereka.

Mengulas berkenaan perkara itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menjelaskan yang paling utama adalah polisi yang bakal dilaksanakan PR jika mereka menawan Putrajaya, dan bukan siapa pemegang polisi tersebut.

“Polisi lebih penting ... tak kira siapa jadi menteri, itulah polisinya.

“Kita jadi kerajaan di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, dan Kedah tanpa ada persediaan, tapi kami berjaya,” katanya merujuk kepada kemenangan mereka dalam pilihan raya 2008.

“Sekarang, kami telah benar-benar bersedia, dan itu bukti kami sedia memerintah,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi dan menambah “tak kira lantik siapa pun, kami memang lebih baik”.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut bersependapat dengan rakan parti komponennya itu dan menegaskan “sejarah dunia dan demokrasi menunjukkan bahawa ‘kehendak dan pilihan rakyat’ menjadi penentu siapa diberi amanah memerintah”.

“Jika gagal memenuhi aspirasi maka rakyat akan menghakimi dan memilih pengganti... di peringkat nasional, hampir semua dasar dan isu PR diguna pakai BN.”

Ahli parlimen Lembah Pantai itu juga menegaskan dengan keupayaan mentadbir empat negeri, PR sudah benar-benar bersedia dibantu dengan “manifesto bersama” yang “mengikat” mereka.

“Ia diperkukuh dengan ‘perlembagaan’ kami — dasar bersama yang memperincikan prinsip-prinsip utama yang akan mengikat kami bersama,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Insya Allah, kesediaan kami terbukti menerusi pentadbiran di keempat-empat negeri yang berjalan dgn baik.

“Di peringkat pusat, pilihan PM sudah diputuskan, dengan akuan bahawa pemegang jawatan itu tidak boleh memegang portfolio kewangan.”

The Malaysian Insider semalam melaporkan pemerhati politik meragui mengenai kesediaan PR untuk memerintah Malaysia jika gabungan itu berjaya merampas Putrajaya pada PRU akan datang, dengan mengatakan terdapat isu-isu yang tidak dapat diselesaikan seperti “kabinet bayangan” atau kerajaan menunggu, mengatakan ini telah “menyekat kredibiliti mereka”.

Malah, pemerhati juga turut membangkitkan bahawa PR masih perlu menyelesaikan perbezaan ke atas isu-isu seperti hudud, undang-undang Islam, dengan menambah bahawa pengalaman pemimpin akan menjadi satu isu.

Tuesday, September 18, 2012

Putrajaya lebih mudah dengan Najib dari Muhyiddin

Anak Putrajaya,


Kenyataan-kenyataan para pemimpin Umno kebelakangan ini secara jelas menunjukkan bahawa mereka telah putus asa untuk memenangi undi bukan Melayu.

Umno akan memasuki gelanggang PRU-13 hanya bergantung pada mereka sendiri untuk menguasai 60-65 peratus undi Melayu dan harapan bahawa deposit tetap mereka di Sabah dan Sarawak kekal.

Konsep 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak nampaknya bertentangan dengan pelan Umno ini, di mana beliau masih meletakkan harapan untuk memenangi undi bukan Melayu untuk BN. Mudah untuk memahami mengapa Najib perlu berbuat demikian.

Najib perlu mendapat keputusan yang lebih baik daripada Tun Abdullah Badawi di 2008 atau bakal mengalami nasib dikeluarkan sebagai Presiden Umno, dalam pemilihan parti yang telah ditunda sejak tahun lepas untuk memberi laluan kepada PRU-13.

Sebaliknya, timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggelarkan diri ‘Melayu dulu, Malaysia kedua’ dan tindakan tidak berkomprominya baru-baru ini dalam mempertahankan pindaan kepada seksyen 114A Akta Keterangan 1960 telah meraih banyak sokongan daripada dalam Umno.


Ramai di dalam Umno merasakan Najib selalu mengalah apabila berhadapan dengan desakan rakyat, yang dipercayai mereka didalangi oleh kempen Pakatan Rakyat.

Ketegasan Muhyiddin dalam tidak memberi ruang untuk perbincangan dan tidak bersifat apologetik terhadap pemimpin BN yang mempertikaikan pindaan tersebut adalah selari dengan sentimen di dalam Umno.

Pakatan harus mengambil iktibar dalam peristiwa ini dan memastikan Najib terus menerajui Umno ke PRU-13.

Bersama isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Umno yang diketuai Najib adalah mangsa yang lebih mudah untuk Pakatan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Muhyiddin, yang dilihat mampu mengumpulkan sokongan orang Melayu kepada Umno lebih baik daripada Najib.

Jalan ke Putrajaya untuk Pakatan adalah lebih senang dengan Najib di atas, dan perkara ini tidak perlu disangsi lagi.

Walaupun Muhyiddin boleh menyakinkan Umno bahawa beliau adalah presiden yang lebih baik, namun beliau akan sukar mendapat sokongan daripada komponen-komponen parti BN.

Tapi memandangkan undi bukan Melayu sudah dianggap tidak boleh diselamatkan lagi, Umno mungkin akan mempertimbangkan masuk gelanggang secara sendiri dengan Muhyiddin di atas dengan sasaran 70 peratus undi Melayu, satu pencapaian yang mustahil dicapai dengan 1Malaysia kepunyaan Najib.

Sunday, September 16, 2012

Anak Muda Kelantan dengan Coral Speaking ke Putrajaya



Rakaman persembahan Coral Speaking oleh Anak Muda Kelantan di dalam Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Negeri Kelantan.

Saturday, June 2, 2012

Pakatan perlu menang sekurang-kurang 100 kerusi parlimen Semenanjung untuk tawan Putrajaya

Firman Allah:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ۬

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang zalim) dengan apa-apa jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan (al-Anfal: 60)


1. Mukadimah

PAS menyertai PRU ke-13 ini bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dengan matlamat untuk membentuk kerajaan yang dapat menunaikan amanah dengan baik berpandukan petunjuk Allah, dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN), seterusnya mendirikan sebuah pemerintahan yang adil dan mendapat keredhaan Allah s.w.t., insyaAllah.  Sudah tiba masanya BN diundurkan, kerana tempoh masa terlalu panjang sehingga terdedah banyak kesilapan yang memalukan.  Kalau dibiarkan berterusan, menambahkan lagi perkara-perkara yang membebankan rakyat dan membanyakkan dosa-dosa pemimpinnya.

Sejak mencapai kemerdekaan, PRU kali ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk merealisasikan cita-cita murni tersebut.  Justeru saya menyeru seluruh ahli-ahli PAS dan pendukung kebenaran supaya bersiap sedia ke arah itu.
Dalam menghadapi PRU ke-13 seluruh ahli-ahli PAS perlu bersedia dari segi rohani dan jasmani, dan juga dari segi dalaman organisasi dan luaran, kerana pertembungan dalam PRU kali ini mungkin yang paling sengit akan kita hadapi.

Marilah kita mengambil iktibar dari peringatan Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a. kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas r.a. dalam menghadapi tentera Parsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:

فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan.  Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan.  Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu.  Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka.  Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt.  Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka.  Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidaklah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki.  Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita.

2. Kandungan


2.1 Allah menjanjikan kemenangan kepada para pendukung perjuangan Islam sebagaimana Firman Allah s.w.t.:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Wahai orang-orang yang beriman!  Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?  Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjihad menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya di-dunia ini) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (al-Saff: 10 – 13)

Allah s.w.t. akan mengurniakan kemenangan kepada penolong-penolongNya dalam dua bentuk, iaitu kemenangan yang besar (الفوز الغظيم) di akhirat dan kemenangan yang hampir (فتح قريب) di dunia.

Kemenangan akan diperolehi dengan bantuan Allah s.w.t. (نصر من الله) setelah kita mempersiapkan ahli-ahli parti yang beriman dan berakhlak, komited, pimpinan-pimpinan parti yang berilmu, jentera-jentera parti yang tersusun dan strategi-strategi parti yang tepat.

2.2 Menegaskan kembali usaha PAS untuk membangunkan Negara Berkebajikan yang akan memberi keadilan kepada semua manusia dan alam sejagat.
Tiada percanggahan antara usaha membangunkan Negara Berkebajikan dengan dasar perjuangan PAS sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS Perkara 5(1):

"Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah".

Memenuhi ciri-ciri kumpulan Islam yang dinyatakan oleh Firman Allah: (آل عمران)

104. Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang berjaya.

PAS sedia berdialog dengan mana-mana pihak kalangan kumpulan Islam (NGO) yang membuat tuduhan bahawa PAS telah lari dari perjuangan, untuk menerangkan pendirian PAS yang sentiasa beristiqamah.

Membangunkan sebuah Negara Berkebajikan adalah iltizam PAS sejak penubuhannya untuk menyampaikan rahmat (kasih sayang) Allah s.w.t. bukan sahaja kepada manusia, malah kepada seluruh alam sejagat.

PAS menyeru kepada semua pihak memahami takrifan Negara Berkebajikan sebagai yang dikemukakan:

"Kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip-prinsip adil dan ihsan (العدل والإحسان) di dalam seluruh sistem pemerintahan termasuklah pentadbiran, perundangan, kehakiman, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, seterusnya membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan (فاستبقوا الخيرات) dan saling bekerjasama (التعاون) ke arah kejayaan (الفلاح) pemerintah dan rakyat di dunia dan di akhirat."

Allah membuat perbandingan dengan firmannya: (البقرة)

200.  Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.

201.  Dan di antara mereka ada orang yang bendoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

Model Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan oleh PAS telah membimbangkan UMNO dan BN, kerana sejak 54 tahun yang lalu melakukan diskriminasi bukan sahaja terhadap kaum-kaum lain, tetapi juga terhadap sesama kaum Melayu dan Bumiputera.

Model Negara Berkebajikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah ini, diyakini akan memberi keadilan kepada semua manusia tanpa mengira kaum dan agama termasuklah kepada alam sekitar.

2.3 PAS telah bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

UMNO sebagai parti yang menjadi teras PERIKATAN dan BN yang telah memerintah negara sejak selepas kemerdekaan semakin terbukti gagal membawa keadilan dan perpaduan yang sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dasar perjuangan sempit UMNO yang berteraskan kebangsaan Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan UMNO bukan sahaja tidak berupaya mengangkat martabat kaum Melayu, bahkan gagal membangunkan peradaban Islam di Malaysia.  Bahkan mencalarkan imej Islam yang murni dan mengancam perpaduan rakyat yang berteraskan adil kepada semua.

Dengan semangat kebangsaan Melayu tersebut, UMNO telah membelakang al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya menjadi teras utama politik Islam.  Hukum-hukum Allah dan nilai-nilai peradaban Islam dipinggirkan dalam pemerintahan negara.

Apabila Islam tidak menjadi dasar politik dan pemerintahan, martabat Melayu juga tidak dapat dipertahankan.

UMNO juga bertanggungjawab

- Menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan tahun 1983 dan 1993 yang menghakis peranan Raja-raja Melayu sebagai kuasa semak-imbang (check and balance) kepada Legislatif dan Eksekutif.

- Meminggirkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi

- Merampas tanah-tanah orang Melayu sehingga Tanah Rizab Melayu berkurangan daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 selepas merdeka, menyusut hampir separuh kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995.

- Menggadai tanah Felda Plantation seluas 360,000 yang juga termasuk tanah rezab Melayu untuk dipajakkan dalam proses penyenaraian FGVH sehingga membolehkan pemilikan oleh warga asing.

- Merosakkan sistem Federalisme dengan mendiskriminasikan kerajaan-kerajaan negeri Melayu seperti Kelantan dan Kedah.  Antaranya dengan menafikan hak kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu terhadap Royalti Petroleum, serta cuai terhadap Sabah dan Sarawak.

Pemerintahan UMNO juga gagal memelihara jatidiri masyarakat Melayu sehingga berlaku keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan.  Salah satu petunjuknya, kadar kelahiran anak luar nikah meningkat setiap tahun.  Pada tahun 2009, seramai 17,703 anak luar nikah telah didaftarkan.
 PAS benar-benar bersedia untuk memimpin perpaduan ummah berdasarkan anjuran al-Quran dan al-Sunnah.

2.4 PR juga telah bersedia untuk menggantikan BN untuk memimpin Malaysia.
Negara Malaysia di ambang keruntuhan apabila tunjang-tunjang utama politik negara semakin runtuh dengan:
- Terhakisnya semangat federalisme.
- Kuasa yang terlalu besar kepada Perdana Menteri selepas hakisan kuasa Raja-raja Melayu.
- Tidak menghayatai sistem pemisahan kuasa, sehingga Institusi Kehakiman tidak lagi berwibawa dan hilang keyakinan.
- Agensi-agensi penting untuk keadilan dan keamanan seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan lain-lain dipaksa tunduk kepada kuasa eksekutif Perdana Menteri.
- Media massa yang dicengkam oleh Kerajaan.
- Pilihanraya yang tidak lagi bersih sehingga kemungkinan untuk berlaku penipuan adalah begitu besar.
- Ketika orang lain mengambil contoh daripada Islam dengan memelihara hak rakyat, BN yang berketuakan UMNO menipu dan merasuah rakyat untuk mengekal kuasa dengan apa sahaja.

Masa depan ekonomi Negara juga semakin suram.

- Hutang Negara semakin meningkat sehingga berada di paras RM 430 biilion melebihi 53% KDNK Negara.
- Hutang isu rumah juga semakin meningkat sehingga mencecah RM 577 billion, iaitu 77% dari KDNK, merupakan yang tertinggi di Asia.
- Kos sara hidup rakyat juga semakin tinggi.
- Jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin. 40% isi rumah berpendapatan RM 1500 ke bawah, manakala 60% isi rumah berpendapatan RM 3000 ke bawah.

Amalan rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi sehingga berlaku pembaziran dan ketirisan.  Kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah semakin merosot kepada tangga ke-60 tahun 2011 berbanding tangga ke-56 tahun 2010.

Dasar dan polisi yang kerajaan juga tidak dikaji sedalam-dalamnya sehingga berlaku flip-flop dalam membuat keputusan seperti keputusan kerajaan berkaitan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan yang terbaru isu pembelian saham MAS oleh Air Asia.

Begitulah kehancuran boleh berlaku apabila amanah diberikan kepada mereka yang bukan ahlinya.

فإذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة

2.5 Roadmap ke Putrajaya
  PAS menyertai PRU ke-13 dengan tujuan untuk mencapai kemenangan. Sehubungan dengan itu, PAS dan PR mesti memperkukuhkan penguasaan kerusi kita di Semenanjung Malaysia di samping melipat-gandakan penguasaan di Sabah dan Sarawak.
  PR perlu memenangi sehingga sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen dari 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. Untuk mencapai jumlah tersebut PAS perlu:
- Mengekalkan semua kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-12 2008
- Menambah lebih banyak kerusi di Terengganu, Perak dan Selangor berbanding PRU ke-12 2008.
- Memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk mempertahankan kemenangan di negeri-negeri yang sedia diperintah oleh PR iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk memenangi semula negeri Perak dan Terengganu di samping berusaha menawan negeri Perlis.

PAS mesti berusaha bersama PR untuk melemahkan penguasaan UMNO dan BN di kubu mereka, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.

PAS juga mestilah bersedia menerima dan mengalu-alukan penyertaan golongan al-mala’ yang ingin menegakkan Islam bersama PAS, antaranya seperti golongan penjawat awam, kelompok budayawan, artis dalam berbagai bidang, pemimpin masyarakat dan pentadbiran kerajaan dan sebagainya.

PAS mesti memberi tumpuan untuk menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga menambah secara purata 3-4 % dengan langkah-langkah berikut:

- Meyakinkan masyarakat Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin Negara dan akan martabat martabat masyarakat Melayu dengan mendaulatkan Islam.
- Menyedarkan masyarakat Melayu dengan isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan langsung seperti isu FELDA, pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat Melayu yang terpinggir dan salah urus wang zakat.
- Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan Melayu kelas pertengahan sebagai agen perubah penting kepada pengundi-pengundi Melayu luar Bandar. Kesempatan bulan Ramadan dan Eidul Fitri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan tersebut.
- Mendekati golongan-golongan yang berpengaruh besar dari kalangan pengundi-pengundi Melayu seperti penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.

PAS melalui Dewan Pemuda perlu memberi tumpuan yang besar kepada pengundi-pengundi Muda yang sebahagian besar mereka berada di bandar-bandar.

PAS melalui Dewan Muslimat perlu mengekang dan mengurangkan sokongan kaum wanita kepada BN dan juga mendekati dengan berakhlak penggerak-penggerak KEMAS yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita.

PAS melalui Dewan Ulama perlu mendekati golongan agamawan dan NGO-NGO Islam untuk meyakinkan mereka bahawa PR bersedia memikul amanah ke arah pemerintahan yang adil dan ihsan.

PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan terus mendekati para pengundi bukan Islam untuk meyakinkan mereka dengan slogan "PAS for All".

Semua ahli-ahli PAS mesti mendekati para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota tentera, polis dan RELA di samping penyokong-penyokong UMNO dengan akhlak yang terpuji supaya mereka beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori oleh PAS.  Sekiranya PAS dan PR diberi kepercayaan memimpin Malaysia kesemua mereka akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam, dan seperti yang dipelajari dari Sirah Rasulullah s.a.w. tidak akan wujud gejala membalas dendam terhadap mana-mana pihak.
 
2.6 Persiapan Ahli-ahli PAS
Firman Allah:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan melaksanakan tugas masing-masing) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Ali Imran: 200)

Berdasarkan ayat di atas seluruh ahli PAS perlu mempersiapkan diri dengan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi PRU ke-13 yang merupakan pertembungan yang paling sengit.

Para petugas PAS perlu mempertingkatkan akhlak kita dalam menghadapi pertembungan sengit ini walaupun menghadapi provokasi yang melampau daripada pihak lawan.
Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memperkukuhkan jentera parti daripada peringkat pusat sehingga ke peringkat cawangan dengan mengelakkan khilaf yang tidak perlu dan mengutama semangat syura dalam membuat keputusan di setiap peringkat.

Mempereratkan hubungan dengan Allah s.w.t. dengan terus bermunajat dan bertawakkal kepadaNya bagi memenuhi ciri-ciri golongan yang mendapat pertolongan Allah.

3. Penutup
Saya menyeru semua ahli-ahli PAS menjadikan gerakkerja dalam PRU ke-13 sebagai sebahagian dari jihad dan ibadah dengan membetulkan niat kita, melaksanakan tugas dengan Istiqamah dan Iltizam, semata-mata mencapai keredhaan Allah.
 الله أكبر ولله الحمد
*Intipati Ucapan Presiden PAS (gambar kiri) Munajat dan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya, dengan tajuk Himpunan Hijau Menuju Putrajaya. Dipetik dari Harakah Daily.

Tuesday, May 22, 2012

Menuju ke Putrajaya hanya mimpi kosong?

Sudah tiga minggu perhimpunan BERSIH 3.0 berlalu, sebuah perhimpunan yang menuntut agar Pilihanraya Umum dijalankan dengan bersih dan telus.  Ketakutan pemerintah dengan kebangkitan hampir 300 ribu rakyat memenuhi jalan-jalan dan lorong di ibu kota daripada diketahui umum khususnya pengundi atas pagar segera ditangkis dengan mengalih isu kepada keganasan demonstran yang mencetuskan ketegangan awam.  Media dan segala jentera digunakan bagi menggambarkan betapa jahatnya perhimpunan ini yang kemudiannya dikaitkan pula semua ini adalah agenda rakus Pakatan Rakyat.

Tidak cukup itu, cubaan memperkakaskan Majlis Fatwa pula dilakukan dengan menjatuhkan hukum haram menyertai perhimpunan sebegini.  Heboh-heboh perdebatan di antara pemerintah yang menuduh Pakatan Rakyat cuba menggulingkan kerajaan dengan cara rusuhan dan Pakatan Rakyat pula membalas hujah tersebut berlarutan lamanya.  Paling celaka apabila Anwar Ibrahim dan Azmin Ali tiba-tiba menjadi panas namanya kerana kononnya merekalah penganjur segala bentuk keganasan pada hari itu.  Jawatankuasa penganjur seperti Ambiga pula terus diburukkan imejnya sehingga hari ini dan terus diganggu keselesaan hidup sehingga sampai ke halaman rumahnya.
Saya bukan hendak mengulas tentang kisah semua ini akan tetapi saya berasa gusar apabila semua heboh-heboh ini telah menyebabkan matlamat perjuangan lapan tuntutan BERSIH 3.0 ditunaikan telah tersasar.  Pakatan Rakyat telah membuang masa yang sangat berharga dek kerana sibuk melayan kerenah badut-badut upahan yang membuat cerita lucah, menonggeng dan menfitnah.  Sepatutnya perjuangan menuntut lapan perkara yang digariskan di dalam BERSIH 3.0 ini diteruskan dengan konsisten.  Ditambah pula lagi baru-baru ini tersebar berita yang Pilihanraya Umum akan diadakan pada bulan Jun.

Maka dengarnya parti-parti Pakatan Rakyat sudah mula bermesyuarat untuk bersiap sedia menghadapi pilihanraya tersebut.  Inilah persoalan yang bermain di minda rakyat.  Bagaimana dengan perjuangan BERSIH 3.0?  Mengapa tiba-tiba hendak menyertai PRU sedangkan kerajaan Barisan Nasional dilihat tidak berminat untuk menunaikan lapan tuntutan tersebut?  Apakah Pakatan Rakyat mahu ditipu lagi dan apakah rakyat mahu juga mengundi dalam keadaan sudah terjamin kalah akibat penipuan yang dirancang rapi seperti apa yang telah berlaku pada pilihanraya sebelum ini? 

Seriuskah sebenarnya Pakatan Rakyat hendak menakluki Putrajaya sedangkan perjuangan untuk memastikan pilihanraya adil dan telus pun hangat-hangat tahi ayam?  Itu belum lagi perjuangan yang lain seperti Mansuhkan ISA, perjuangan menentang PPSMI yang sepatutnya dimansuhkan tahun ini tetapi kerana protes yang lesu maka kerajaan masih boleh terus bernafas lega dan menyorokkan masalah ini di bawah karpet.

Yang dipukul teruk dalam perhimpunan BERSIH 3.0 adalah rakyat marhaen, yang ditangkap ISA sekarang juga marhaen yang tidak popular, apakah mereka ini terus dibiarkan?  Ada sesetengah pemerhati politik berpendapat perjuangan politikus hanyalah untuk menjadi Yang Berhormat sebenarnya dan bukanlah hendak memerintah sangat.  Asalkan kedudukan mereka selamat dan boleh cari makan.  Ini tanggapan yang tidak boleh diketepikan dengan begitu mudah kerana inilah yang disangkakan oleh rakyat pada hari ini.

Anak-anak muda dalam parti politik Pakatan Rakyat juga sepatutnya harus terus turun mendekati rakan sebaya mereka menerangkan risalah perjuangan, bukannya berpolitik dan melobi menjadi calon.  Agak mengecewakan juga apabila perjuangan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka sebagai protes menentang PTPTN disambut dingin oleh anak-anak muda parti politik disebabkan tidak sebulu.  Kata anak-anak muda parti, mahasiswa ini berlagak dan mengkritik parti.  Seharusnya mereka mencari titik persamaan apatah lagi isu PTPTN ini isu anak muda.  Jika isu anak muda gagal disahut sendiri oleh anak-anak muda di dalam parti politik yang bercita-cita untuk memerintah, makanya apa sebenarnya obor perjuangan anak muda di dalam parti politik?

Itu belum lagi golongan pencinta bahasa, budayawan dan golongan sebagainya yang terawang-awang berjuang dan masih gagal melihat "musuh" sebenar dalam kemelut ini.  Mereka lantang apabila isu bahasa dipinggirkan malah sekumpulan seniman juga pernah membuat persembahan protes menentang rampasan tanah kampung tradisional untuk tujuan pembinaan projek tetapi itu kerana salah seorang daripada seniman tersebut adalah penduduk asal kampung tersebut.  Dalam isu lain mereka membisu pula walhal mereka seharusnya sedar segala mehnah yang timbul pada hari ini baik isu bahasa, pencerobohan tanah, rasuah mahu pun penyelewengan kuasa atau segala bapa kejahatan di atas bumi Malaysia pada hari ini datangnya dari satu musuh sahaja iaitu sebuah kerajaan yang zalim.

Perjuangan mestilah berstrategi dan strategi mestilah ampuh mengepung dari semua sudut agar musuh bersama jenteranya dapat dilumpuhkan.  Strategi juga mestilah bijak dan kreatif.  Kalau kita hayati salah satu tuntutan tersebut ialah mahukan akses media yang bebas dan adil tetapi apa yang kita lihat media tetap terus menfitnah peserta perhimpunan dengan memberikan imej ganas dan jahat.  Jika akhbar dan stesen televisyen kroni percuma itu memanglah tidak dapat dinafikan tapi mengapa membiarkan stesen televisyen berbayar turut juga terlibat menfitnah?

Saya percaya sekurang-kurangnya 10% daripada 300 ribu orang peserta demonstran adalah pelanggan sebuah stesen televisyen berbayar.  Hari ini mereka terus membayar stesen itu untuk terus menfitnah mereka sendiri.  Bayangkan 10% daripada peserta perhimpunan BERSIH 3.0 ini (mungkin lebih daripada itu) memboikot dan menghentikan langganan apakah stesen televisyen berbayar ini tidak rasa tergugat dan akan berfikir lebih daripada sekali untuk melaporkan fakta yang salah pada lain kalinya?  Mengapa ini pun tidak mampu dilakukan?  Apakah susah untuk melakukan ini?  Apa kata buat sahaja yang ini dahulu sebelum melangkah berteriak dengan kuat.  Tidak ketinggalan zaman kita rasanya jika tiada benda-benda seperti itu.  Jangan biarkan musuh ada di dalam rumah kita sendiri.

Semua rakyat Malaysia, seniman dan budayawan, ahli politik, anak muda tidak kira di dalam atau di luar parti jika mahu melihat kerajaan yang zalim ini tumbang haruslah duduk bersama mencari titik persamaan agar Malaysia baru dapat ditegakkan.  Percayalah jika kita bersatu meneriakkan slogan "tunaikan lapan tuntutan" dengan lantang dan konsisten tanpa henti-henti segala tonggeng punggung, jual burger depan rumah orang, mengheret ibu ahli politik masuk televisyen akan gugur dengan sendirinya dan mimpi menakluki Putrajaya akan jelas dan memang nyata akan menjadi realiti!

*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.