Thursday, January 27, 2011

Ada masalah dengan E-Idaman contact no. ini segera...

E-Idaman segera atasi masalah

KUALA KETIL – Selepas Sinar Harian edisi 20 Januari di halaman U30 menyiarkan aduan bergambar mengenai masalah longgokan sampah di Kampung Songkiar, Batu Dua, di sini, masalah berkenaan segera diselesaikan Syarikat Idaman Sdn Bhd (E-Idaman).

Pengurus Unit Perkhidmatan Sungai Petani, Kamarulzaman Yahya berkata, masalah sampah itu sudah diselesaikan pada hari sebelum siaran akhbar berkenaan.

Menurutnya, ketika kerja pembersihan itu dijalankan, didapati sebahagian besar sampah dibuang ialah sampah bukan domestik, kerana terdapat banyak perabot lama, almari buruk dan barangan lain yang tidak sepatutnya dibuang di tempat itu.

“Dalam operasi pembersihan ini, kita menggunakan tiga lori muatan terbuka (open tipper) dan sebuah jengkaut.

“Malah, kita juga mendapati terdapat pihak yang menggunakan lori pada waktu malam untuk membuang pelbagai jenis sampah di sekitar tong sampah yang disediakan,” katanya.

Kamarulzaman berkata, pihak industri sepatutnya membuang sampah mereka di tapak pelupusan yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya di tong sampah yang dikhaskan untuk penduduk.

“Kita juga mengharapkan kerjasama orang ramai agar tidak sesuka hati membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya bagi mengelak timbulnya masalah lain,” katanya.

Jika anda mempunyai aduan dan pertanyaan, hubungi talian bebas tol iaitu 1800-88-ENVI (3684) atau menghantar emel ke aduan@e-idaman.com.

No comments:

Post a Comment