Wednesday, February 2, 2011

Benarkah kita gagal?

oleh Roslan SMS

“Sidang DUN gagal” itulah tajuk pilihan Utusan Malaysia hari ini. Berita berkenaan merujuk kepada kegagalan Dewan Selangor semalam mendapatkan majoriti dua pertiga untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Sebagaimana kita ketahui kerajaan negeri Selangor semalam berusaha meminda Perlembagaan Negeri iaitu Perkara 58 Fasal 5 (Bahagian 2) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa DYMM Tuanku Sultan Selangor dan MB Selangor dalam melantik 3 pegawai eksekutif negeri iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri, ketiga-tiga penjawat jawatan ini duduk dalam Mesyuarat EXCO Negeri.

Isu ini berbangkit ekoran perlantikan SUK yang baru iaitu Datuk Khusrin Munawi yang tidak melalui proses amalan biasa sebaliknya dicadang dan dikemukakan terus oleh kerajaan Pusat tanpa berbincang dengan kerajaan negeri yang telah pun mengambil inisiatif menyaring dan mengenal mpasti calon-calon yang paling baik dan layak menjawat jawatan tertinggi awam negeri ini.

Benar sidang DUN gagal meluluskan pindaan ini kerana setelah undian 34 menyokong manakala 20 menolak (satu tidak hadir kerana kerusi Pelabuhan Kelang telah dikosongkan). Kerajaan negeri perlukan sokongan dari sekurang-kurangnya 38 ADUN bermakna kekurangan 4 undi.

Apakah pengajaran dari episod ini?

Umno Selangor tidak mahu kembalikan kuasa Sultan dan rakyat. Umno Selangor hari ini masih pekat dan tebal menyokong cita-cita Tun Dr Mahathir di tahun 1993 lalu yang ghairah menghakis, mengekang dan merampas kuasa Raja-raja Melayu. Di Selangor ketika itu ada seorang pemimpin Umno semasa berbahas di Perhimpunan Agung Umno sehingga menyerang Almarhum Sultan Selangor kononnya membazir dan menghabiskan kewangan negeri. Itulah Umno dahulu dan inilah Umno yang sama yang melaung kononnya mahu berjuang mempertahan kedaulatan Raja-raja Melayu tetapi hakikatnya merekalah penderhaka terbesar.

Hakikatnya Pakatan Rakyat lah walau dihamburkan dengan pelbagai tohmahan yang sesungguhnya berusaha memartabatkan kembali kuasa Sultan dan rakyat tetapi ditolak mentah-mentah oleh Umno dan BN Selangor.
Rakyat Selangor perlu kembalikan Pakatan Rakyat pada PRU akan datang dengan majoriti dua pertiga. Jangan izinkan Umno dan BN menyalahgunakan bilangan kecil mereka untuk menyekat kebangkitan kuasa dan suara rakyat. Tolak terus Umno dan BN di Selangor.

Syabas kerajaan negeri dan MB Tan Sri Kahlid Ibrahim, walau kita gagal kali ini insyallah rakyat Selangor melihat dan tahu menilai, kita akan kembali mengukuhkan kerajaan negeri pada PRU akan datang dengan majority yang lebih besar dan selesa.

No comments:

Post a Comment