Tahun arnab bagi masyarakat Cina adalah tahun keempat dalam kalendar mereka. Arnab adalah isyarat bertuah serta lambang kepada kestabilan, keamanan dan ketenangan. Adalah dinasihati sepanjang tahun arnab ini sememangnya baik tumpuan diberi kepada keluarga, keselamatan mereka dan berusaha membangun lingkungan yang aman.
Saya yakin hasrat yang demikian murni, iaitu memastikan keselamatan serta kesejahteraan keluarga dan lingkungan juga dikongsi bersama masyarakat Melayu, India, Iban dan Kadazan. Pakatan Rakyat juga berusaha keras setiap masa demi memastikan hasrat tersebut terlaksana.
Menjelang tahun 2011 Muafakat Pakatan Rakyat telah berhasil menerbitkan satu dokumen penting yang digelar Buku Jingga, zahir dari iltizam kami untuk bersama-sama rakyat Malaysia memastikan kesejahteraan negara ini.
Moga tahun ini bermula dengan baik untuk kita semua. Saya berharap hasrat murni kita untuk melihat Malaysia yang sejahtera dan makmur akhirnya terlaksana. Kepada masyarakat Cina saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina.
Gong Xi Fa Cai!
*Perutusan Tahun Baru Cina daripada Anwar Ibrahim, selaku Ketua Pembangkang Parlimen dan Ketua Umum PKR.
Perutusan Selamat Tahun Baru Cina oleh Wan Azizah Wan Ismail
Di kesempatan ini ingin saya ucapkan Gong Xi Fa Cai dan Xin Nian Kuaile kepada semua rakyat Malaysia yang berbangsa Tionghua. Semoga Tahun Baru Cina di raikan dengan suasana yang mesra dan meriah. Tahun ini adalah tahun arnab, ianya melambangkan sifat-sifat yang peka,bijaksana, diplomatik lagi berseni.
Justeru, perayaan ini seharusnya disambut dalam suasana yang boleh menjalin perpaduan tulin di antara segenap lapisan masyarakat dan kepelbagaian kaum. Hanya dengan keharmonian sejati maka agenda besar membina sebuah masyarakat bertamadun akan tercapai.
Saya yakin sambutan pada tahun ini adalah dalam suasana yang cukup sederhana. Ekonomi negara yang belum keluar dari kekangan kemelesetan pasti terus menekan rakyat. Apatah lagi kegagalan kerajaan mengawal kenaikan harga barangan akibat dari kenaikan harga petrolium nampaknya terus melonjakkan kos sara hidup.
KEADILAN yang berpegang atas panji Pakatan Rakyat akan terus memperjuangkan hak dan kepedulian kepada rakyat. Buku jingga yang kita galur sebagai tanda aras janji dan iltizam perjuangan, telah kita sebarluaskan agar rakyat melihat jelas program merakyatkan ekonomi negara.
Tahun ini adalah tahun penentu memandangkan besar kemungkinan pilihanraya umum mungkin diadakan. Inilah masanya rakyat membuat keputusan samada mahu terus dengan kesempitan ekonomi, kekangan berpolitik dan adu domba perkauman atau bersedia membina Malaysia yang maju ke hadapan. Pakatan Rakyat adalah pilihan bagi menjana kehidupan yang mencerminkan sebuah negara yang benar benar merdeka dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Gong Xi Fa Chai, Xin Nien How
*Perutusan Tahun Baru Cina oleh Wan Azizah Wan Ismail, selaku Presiden PKR.
No comments:
Post a Comment