Apakah benar bahawa masalah politik orang Melayu lebih kepada kesukaran untuk mempengaruhi persepsi mereka, yang dipegang atau diwarisi sejak lama, dan bukannya berkisar kepada halangan untuk mendapatkan maklumat ataupun informasi terkini?
Benarkah pengundi Melayu sudah cukup dibekalkan dengan segala fakta dan data tentang realiti politik Malaysia yang rencam ini? Ada pendapat yang mengatakan, bukannya mereka jahil sangat tentang seribu satu penyelewengan, salahguna kuasa dan korupsi pemimpin Umno. Malah mereka juga arif tentang kebobrokan akhlak dan gaya hidup pemimpin yang menyimpang daripada tuntutan Islam.
Tanpa mengetepikan hakikat bahawa masih ada sekelompok orang Melayu yang terus "ditawan" oleh akhbar Utusan Malaysia dan siaran propaganda RTM dan TV3 -- dan ini juga memerlukan penekunan tersendiri untuk memecahkan kepompong itu -- tetapi apa yang lebih urgent adalah memastikan persepsi atau tanggapan mereka tentang real politik dipandu oleh kesedaran mendalam dan maklumat yang kemaskini.
Timbunan informasi kadangkala membingungkan juga, atau ia sekadar memaparkan fakta dan statistik tanpa berupaya membentuk "gelombang" atau membangkitkan "sentimen". Misalnya, pengundi Melayu-Melanau dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu tentunya turut menyedari gumpalan skandal kewangan dan aksi kezaliman regim Taib Mahmud, sepertimana dirasai pengundi Tionghua, tetapi reaksi mereka begitu berbeza, 'kan?
Begitu juga, misalnya, ketika Melaka pernah heboh dengan dakwaan skandal seks Ketua Menterinya yang dikaitkan dengan gadis bawah umur, selain senarai panjang penyelewengan yang didedahkan Lim Guan Eng (sehingga akhirnya pemimpin DAP itu dipenjarakan), apakah rakyat negeri berkenaan, terutama orang Melayu seolah-olah berada dalam kubu yang tidak ditembusi sebarang maklumat mengenainya?
Pendekatan tentang kelakuan mengundi di Malaysia pernah dibincangkan oleh Ghazali Mayudin (2006), bekas Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mengutarakan tiga pendekatan, iaitu sosiologikal, identifikasi parti dan pilihan rasional.
Pendekatan sosiologikal menekankan bahawa status sosioekonomi (pendidikan, pendapatan dan kelas), agama, etnik dan tempat tinggal (bandar dan luar bandar) mempunyai kaitan yang rapat dengan pilihan pengundi.
Identifikasi parti pula merujuk kepada ikatan dan kesetiaan kepada sesuatu parti dan atas dasar inilah maka sesuatu parti itu dipilih dalam pilihan raya. Kesetiaan itu pula melalui proses sosialisasi politik iaitu proses yang menurunkan dan menanamkan nilai dan norma daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Oleh kerana adanya penurunan nilai itu, maka terdapat kecenderungan parti yang disokong oleh anak adalah sama dengan parti ibu bapa mereka.
Pendekatan ketiga ialah pendekatan pilihan rasional yang mengandaikan pengundi bertindak secara rasional semasa membuat keputusan untuk keluar mengundi dan semasa membuat pilihan ketika mengundi. Pengundi akan bertindak secara rasional dengan memilih calon atau parti yang sesuai dengan kehendaknya dan dijangka akan memberi faedah atau kepentingan kepadanya.
Saya percaya, pengundi di Malaysia semakin matang untuk membuat pilihan secara rasional. Masalahnya, kadang-kadang sentimen dan emosi dapat mengalahkan pilihan rasional, meskipun profil pengundi kian sofistikated dan berilmu. Ya, dalam politik, kebenaran bisa sahaja "ditewaskan" oleh persepsi. Percaturannya tidak semudah "1+1=2".
Apa pun, kebenaran dan hujah rasional jika dibentangkan secara bijaksana, berhemah serta dapat menawan imiginasi, akhirnya akan membentuk satu persepsi yang lebih mantap dan "bertahan lama".
Ahmad Lutfi Othman
No comments:
Post a Comment