ULASAN BEBAL PEMIMPN UMNO/APCO
depa tak keharuan..meracau siang malam..alahai nasib-nasib..!!
PAS sudah selesai mengadakan perhimpunannya yang ke-57. Semua saf kepemimpinan telah dipilih. Media pro-UMNO/APCO meratap hiba kerana golongan ulama didakwa tersingkir. Mereka sedih kerana yang menang terdiri daripada golongan profesional yang pro-Anwar. Ada pula yang beranggapan bahawa PAS telah menyempurnakan kehendak DAP dalam perhimpunan tersebut.
Bagi mereka yang tidak faham dengan prinsip perjuangan berteraskan Islam, persepsi sedemikian akan mudah ditelan kerana sifatnya yang lembek seperti agar-agar. Apabila kita menghayati prinsip Islam dalam soal siasah, kita akan mendapati bahawa perjuangan perlu berteraskan kepada kebolehcapaian, bukannya utopia. Negara Islam merupakan satu utopia yang dimomokkan bagi menentang penjajahan suatu ketika dahulu. Imperialisme Barat sudah berkubur. Maka konsep tersebut sudah tidak relevan lagi pada masa ini. Sementelahan pula tidak disebut dalam al-Quran. Al-Quran telah menggariskan ciri-ciri negara berkebajikan. Oleh sebab itu, entiti tersebut dizahirkan dalam Buku Jingga. Harus diingat bahawa buku ini lahir mendahului Perhimpunan PAS Kali Ke-57.
Sehubungan itu, kita dapat melihat kewujudan histeria politik dalam kalangan musuh-musuh PAS terhadap pendirian yang digariskan oleh presiden itu. Kecamukan pemikiran dalam kalangan mereka yang takutkan PAS itu ikut menzahirkan kebebalan yang menjengkelkan. Kita ikuti sebahagian daripadanya.
NAJIB
Dia mendakwa negara berkebajikan yang diperjuangkan PAS hanya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Najib sebenarnya tida tahu-menahu tentang negara berkebajikan. Dia pakai hentam saja apabila ditanya. Tidak tahu pun nak jawab juga. Kalau jahil tentang sesuatu, lebih baik diam saja supaya orang lain tidak tahu kepandiran kita. Konsep negara berkebajikan telah dilaksanakan oleh Rasulullah di Madinah. Konsep itu merupakan aspek utama dalam prinsip Negara Islam. Oleh sebab itu, pelaksanaannya dituntut oleh Islam, bukan lagi menjadi agenda politik semata-mata. Apabila Najib kata begitu, nampak sangatlah dia tidak ambil berat hal-hal yang bersangkutan dengan agama Islam dan bersikap tidak acuh kepada ulama yang ada dalam UMNO/APCO tetapi dengan bangganya mengatakan bahawa Malaysia negara Islam contoh di dunia ini. Negara Islamkah kalau pemimpinnya mendera rakyat? Jika demikian halnya, tidak ada sebab untuk UMNO/APCO mendakwa ulama dipinggirkan dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS baru-baru ini.
MUHYIDDIN
Timbalan Presiden UMNO/APCO ini mengatakan bahawa konsep negara berkebajikan yang kini diperjuangkan PAS sudah lama dipraktikkan oleh kerajaan BN.
Dari sudut yang lain, dia mengatakan PAS memilih pendekatan yang sempit apabila hanya bekerjasama dengan pihak yang boleh memberikan keuntungan sahaja.
Kita berasa hairan bagaimana UMNO/APCO mendakwa mereka telah lama melaksanakan negara berkebajikan sedangkan parti perkauman yang sekular itu menolak Islam sebagai dasar perjuangan. Hakikatnya, UMNO/APCO hanya menjaga kepentingan diri dan kroni. Dalam hal-hal lain, mereka mengamalkan rasuah, pembeziran, penyalahgunaan kuasa, pengkhianatan, ketirisan, dan sebagainya. Dapatkah kesemua amalan negatif ini disecocockkan dengan negara berkebajikan? Nampak sangatlah kebebalan Muhyiddin atas perkara ini.
Harus diingat bahawa PAS tidak mungkin bersatu dengan UMNO/APCO sekalipun pintu dibuka seluas mungkin untuk mempersilakan PAS memasukinya. Pada masa yang sama, Muhyiddin perlu sedar bahawa kepandirannya sangat nyata. Jika PAS memikirkan tentang keuntungan, pasti PAS menyertai UMNO/APCO. Kenapa? UMNO/APCOlah yang ada kuasa terbanyak. Pakatan yang terdiri daripada PAS, DAP, dan PKR hanya menguasai empat buah negeri, iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Untung rugi bukan perkiraan PAS. Parti Islam itu lebih terarah kepada memastikan kemaslahatan rakyat. Untuk memenuhi tuntutan itulah negara berkebajikan diperjuangkan. PAS sama sekali tidak gila kuasa seperti UMNO/APCO. Kalau tamakkan kuasa, sudah lama PAS bekerjasama dengan UMNO/APCO.
HISHAMMUDDIN
Dia menganggap pemilihan pucuk pimpinan PAS yang baru hanya untuk mencapai matlamat memerintah bersama Pakatan sedangkan dasar perjuangannya semakin kabur.
Kenyataan bebal di atas langsung tidak boleh diterima akal. Kuasa ialah matlamat utama politik. Jika itu bukan matlamat politik, tidak payahlah sesiapa pun menubuhkan parti siasah dan bergabung membentuk kekuatan bagi mendapatkan kuasa. Sekali lagi dia kelihatan bebal apabila mengatakan dasar perjuangan PAS semakin kabur. Hanya sanya alasan yang diberikan ialah pelaksanaan negara berkebajikan.
Dengan dua kali bebal itu, Hishammuddin hanya berjaya menyerlahkan kegerunannya kepada barisan baru saf kepemimpinan PAS. Dengan golongan profesional berada di barisan hadapan dan sokongan padu ulama di belakangnya menjadikan PAS lebih dinamis. rogresif, dan agresif berbandingan dengan UMNO yang sedang mereput dari dalam. Hishammuddin sedar UMNO/APCO mampu diranapkan oleh golongan profesional PAS sama seperti parti pimpinan Erdogan yang meranapkan parti sekular di Turki.
KHAIRY
Dia kata PAS menggadai perjuangan asal untuk menubuhkan negara Islam semata-mata ingin mengejar kuasa. UMNO/APCO tidak akan berbuat begitu demi agama, bangsa, dan negara.
Tidak perlu lagi dihuraikan tentang konsep negara Islam. Perkara yang lebih relevan ialah benarkah UMNO/APCO berjuang demi agama, bangsa, dan negara? Barangkali persoalan-persoalan ini akan mengesahkan kebebalan Khairy.
Jika UMNO/APCO berjuang untuk Islam, mengapakah diguna pakai dasar kebangsaan dan sekularisme? Mengapakah pemimpin-pemimpin UMNO/APCO menghina Islam? Mengapakah UMNO/APCO tidak menegur MCA yang terlalu kerap menghina Islam?
Jika UMNO/APCO berjuang untuk bangsa, mengapakah mereka melesapkan RM52 bilion saham Bumiputera? Mengapakah Melayu/Bumiputera hanya dapat 18% lebih ekuiti sahaja sepanjang pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ? Mengapakah Tanah Simpanan Melayu (TSM) dirompak hingga tinggal 1.7 juta hektar sahaja pada masa ini? Mengapakah nasib orang Melayu di Pulau Pinang tidak berubah-ubah sepanjang diperintah oleh UMNO/BN?
Jika UMNO/APCO berjuang untuk negara, mengapakah indeks rasuah di Malaysia tidak turun-turun? Mengapakah Malaysia menduduki tempat ke-10 dunia dalam kategori togok arak. Padahal Malaysia [negara Islam? ] contoh? Mengapakah Malaysia disiasat oleh Perancis berhubung komisyen pembelian kapal selam? Mengapakah Pulau Batu Putih terlepas ke tangan Singapura? Mengapakah pelabur-pelabur asing tetap enggan berniaga di Malaysia secara besar-besaran walaupun berbuih-buih mulut Najib buat slow talk ?
Kelemahan-kelemahan tersebutlah yang dihidu oleh Pakatan Rakyat. Dengan perubahan-perubahan yang dilakukan oleh PAS, golongan bukan Melayu akan lebih mudah menerima parti Islam itu. PAS dengan DAP dapat merintis jalan untuk mencari lebih banyak titik persamaan bagi menumbangkan BN. Sehubungan itu, tidak timbul soal siapa menguasai siapa antara kedua-duanya!!!
Ketika PAS memperjuangkan negara Islam dahulu, UMNO/APCOlah yang memperlekehkannya, UMNO/APCOlah yang lebih sudu dari kuah mempropagandakan PAS dan DAP tidur sebantal mimpi lain-lain. Kini dikatakan pula PAS menyempurnakan kehendak DAP. Di samping itu, dimomokkan pula bahawa BN telah lama melaksanakan negara berkebajikan. Rakyat tahu bahawa semua dakwaan itu palsu belaka. Yang jelasnya ialah UMNO/APCO merupakan sebuah parti yang hipokrit. Dulu lanyak ulama. Sekarang sedih dan pilu kononnya kerana ulama tersingkir. Alangkah munafiknya UMNO/APCO!!!
Umum mengetahui bahawa jika rakyat terus dibebalkan dengan hiburan dan kemunduran ekonomi oleh UMNO/APCO, maka rakyat terbanyak, khususnya Melayu; akan terus bergantung harap kepada mereka untuk memelihara dan memperjuangkan nasib dan masa depan ekonomi mereka. Ketahuilah bahwa mitos ini akan sirna apabila Melayu muncul sebagai bangsa yang cerdik dan berani. Selaras dengan itu, pembohongan dan kemunafikan UMNO/APCO akan turut musnah menjadi puing-puing yang berselerakan!!!
http://bilahrotan.blogspot.com
http://bilahrotan.blogspot.com
No comments:
Post a Comment