Friday, June 3, 2011

Rakyat perlu bangkit, jangan terus ditindas

Ismail Hashim

GOMBAK, 4 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan kerajaan diktator di mana-mana sahaja di dunia mempunyai pemikiran dan tindakan sama.

Menurutnya, mereka sangat suka rakyat berada di dalam miskin, lalai dan jahil kerana dengan tiga kelemahan itu, rakyat sentiasa bergantung pada kerajaan.

Katanya, kerajaan boleh lakukan apa sahaja kepada rakyat yang memiliki tiga sifat lemah ini kerana hanya menurut dan tiada sikap menentang.

Ustaz Nasrudin demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis ceramah isu antarabangsa sempena Muktamar Tahunan PAS ke 57 di sini.

Turut berucap dalam majlis yang diadakan di padang Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Gombak Setia berhampiran Taman Melewar adalah AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan pimpinan antarabangsa.

Nasrudin membuat perbandingan bagaimana rakyat di negara lain bangun menunjukkan penentangan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga roti sebanyak 15 sen.

"Rakyat negara kita, naiklah berapa sen pun mereka tidak terasa apa-apa, sebagai contoh kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen.

"Dalam keadaan kenaikan berbagai harga keperluan semasa, masih terdapat pujian daripada rakyat.

"Ada yang berkata, kenaikan harga itu memang patut kerana boleh menambah pendapatan negara, saya tidak terasa apa-apa kerana saya tidak punyai kereta," tegasnya.

Sedangkan, menurut Nasrudin, meskipun mereka tidak menggunakan minyak untuk kereta sendiri tetapi harga keperluan harian tetap meningkat dan menjerat leher rakyat.

Namun kerana sikap rakyat yang memiliki jiwa hamba kepada kerajaan diktator, mereka tidak mampu bangun melakukan penentangan.

Kerana itu, tegasnya, rakyat sewajarnya berani lakukan perubahan sikap agar kehidupan mereka menjadi lebih baik di masa hadapan.

Sebelum itu, Haji Mohamad berkata, janganlah diharapkan musuh Islam seperti Amerika dan Israel serta sekutu mereka untuk menghargai Islam.

Malah, katanya, kerajaan yang hanya memberikan ketundukan kepada New York dan London, tidak mampu melakukan apa-apa perubahan terbaik dalam pemerintahan mereka.

Beliau menegaskan, keadaan hanya akan menjadi lebih baik jika semua kerajaan di negara dunia Islam ini mengambil Islam sebagai sumber penyelesaian mereka.

"Selagi mana sesebuah kerajaan itu mengikut telunjuk musuh Islam, tidak mungkin Islam akan dapat ditegakkan.

"Sudah lama umat Islam berada di dalam kesengsaraan, pemikiran mereka tidak merdeka dan hidup mereka menjadi terlalu hina," tegasnya.

Sudah sampai masanya, umat Islam di semua negara mengambil pendekatan baharu dengan mengubah sikap menjadi lebih berani di dalam bertindak ke arah pembebasan negara dan kemerdekaan jiwa.

No comments:

Post a Comment