Tuesday, September 20, 2011

Produk Kedah berjaya tembusi pasaran Ireland

ALOR SETAR - Percubaan pertama memasarkan produk hasil keluaran usahawan Kedah ke pasaran Ireland ternyata mendapat sambutan menggalakkan masyarakat pelbagai bangsa yang menetap di sana.

Pengarah Urusan ManMa & Hibiscus Asian Store LTD. Ireland, Kamarulzaman Abdul Manan berkata, hasil memorandum persefahaman (MoU) antara Kedah Agro Industries Berhad dengan syarikatnya pada 12 April lalu bagi memasarkan produk berjenama Malaysia menunjukkan reaksi positif daripada pelanggan di Ireland.

Menurutnya, pada peringkat permulaan mereka memilih 35 jenis barangan untuk dipasarkan di pasar raya miliknya iaitu Hibiscus Asian Store dengan melibatkan 12 pengeluar produk makanan yang terpilih.

“Bagaimanapun bagi keperluan musim perayaan Aidiladha akan datang kami akan menambah tempahan barang daripada enam usahawan berkenaan berikutan produk mereka mendapat permintaan tinggi.

“Antaranya produk pelbagai jenis sos antaranya sos cili, sos Thai, sos lada hitam, ketupat dan nasi himpit keluaran Zuza Foods, minuman pra-campuran kopi keluaran e-Man, kerisik, serta produk makanan ringan daripada beberapa usahawan lain,” katanya ketika menghadiri majlis perjumpaan bersama ManMa & Hibiscus Asian Store LTD. Ireland dan usahawan Jabatan Pertanian Kedah dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kedah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Kedah, Ismail Salleh.

Kamarulzaman berkata, pihaknya turut mengenal pasti lebih banyak produk makanan lain yang berpotensi dipasarkan di sana termasuk jeruk buah-buahan, dadih dan rempeyek keluaran usahawan Jabatan Pertanian.

“Kami menjangkakan selewat-lewatnya penghujung Oktober nanti satu kontena produk Kedah termasuk produk makanan dari negeri lain dapat dihantar ke Ireland untuk memenuhi permintaan.

“Setakat ini, produk keluaran usahawan Kedah tidak mempunyai sebarang masalah terutamanya dari segi kualiti barang tetapi untuk pasaran jangka panjang mereka perlu memberi lebih perhatian kepada pembungkusan serta harga barangan,” katanya.

Beliau berkata, usahawan perlu memenuhi tujuh kriteria utama produk iaitu bahasa, maklumat kandungan, nama kilang hasilkan produk, bahan-bahan, panduan menggunakan produk bagi mengembangkan lagi pasaran mereka ke serata dunia.

No comments:

Post a Comment