ALOR SETAR - Adun Gurun, Dr Leong Yong Kong berhasrat meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat dan bersedia bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) jika parti masih menaruh kepercayaan kepadanya.
“Terserah pada parti sama ada mahu mencalonkan semula saya pada PRU13. Namun saya bersedia memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, kesetiaanya terhadap MCA tidak pernah pudar walaupun suatu ketika dahulu, beliau antara yang lantang mengkritik parti termasuk mengambil cuti selama setahun bermula 29 Mac 2010 hingga 28 Mac 2011 kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan tertinggi parti.
Saya gembira sebab kepimpinan MCA menerima pandangan saya sebelum ini, malah mereka bersikap terbuka. Saya juga tidak dikenakan tindakan disiplin kerana menyuarakan pandangan,” katanya.
Sebelum ini, Dr Leong bercuti daripada melakukan aktiviti parti selama setahun sebagai protes kerana mahu MCA sedar dan memperbaiki kelemahan bagi menstabil dan mengukuhkan kedudukannya.
“Saya tiada masalah dengan parti, begitu juga parti. Mereka kini menerima saya dengan baik. Saya masih bersemangat dan mahu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
"Ketika saya bercuti pun, rakyat terima saya sebagai wakil MCA dan ini memberi suntikan semangat kepda saya,” katanya.
Mengulas pendedahan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah mengenai beberapa pemimpin Umno, MCA dan MIC yang dipinggirkan parti, menyatakan kesediaan menyertainya pada PRU13, Dr Leong berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.
“Saya dapat tahu pun menerusi media. Walaupun ada yang sangka saya antara salah seorang yang didekati Kita akibat masalah lalu. Saya bukan dipinggirkan parti sebaliknya keputusan untuk bercuti adalah kerana sayangkan MCA,” katanya.
Dr Leong berkata, kapasitinya sebagai wakil rakyat MCA tidak terjejas sama ada sebelum atau selepas bercuti, malah ia menguatkan kembali ikatan setiakawan dalam parti.[Sinar Harian]
No comments:
Post a Comment