Wednesday, April 4, 2012

BN asyik belai FELDA, lupa nasib pesawah





Oleh: ZULKIFLI YAHAYA 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgJtAxlYyZyVSpAo4tskxPQY7e_1UPoEoK6tt8QY0L2WME7fDHKkpPOW_ZHykO1QmlQf8z4VKGPju9wrMttmDBP2PFRkP4k7JdWcRThs1GP7rHWsOFhoGDkdIWZP67RI7pUk4ovxSRvQkg/s1600/felda1.png 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin umumkan dana RM7.5 juta untuk masyarakat belia Felda. Itu bukan ganjaran kali pertama untuk Felda tapi sudah berkali kali. Daripada Perdana Menteri hinggalah menteri-menteri yang lain tidak putus-putus berkampung di Felda. Setiap kali mereka turun pelbagai ganjaran baru diumum atau dihulurkan. 

Semua orang tahu mengapa masyarakat Felda menjadi 'anak emas' kerajaan BN. Sebabnya mereka adalah talian hayat terakhir BN untuk menyambung nyawa di Parlimen. Undi dari kawasan Felda menjadi penentu kemenangan BN di lebih 30 kerusi Parlimen. Sehingga kini Felda adalah kubu terakhir BN. Sistem pemantauan dan kepungan ala kerajaan sosialis, menjadikan Felda mudah ditundukkan oleh kerajaan yang memerintah. Perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa Felda sudah boleh ditembusi oleh pembangkang. 

Penghuni Felda sudah berani mencabar pihak tertinggi mereka di mahkamah dan ada kes yang dimenangi mereka. Ini yang menggusarkan BN. Lalu Felda telah ditekan dan diganjarkan. Itu kaedah yang digunakan oleh mana-mana rejim diktator yang terlalu lama berkuasa. Jika ugutan dan tekanan tidak mampu mengubah pendirian, maka merasuah mereka dengan habuan duniawi menjadi pilihan terbaik. "Asyik-asyik Felda, macamlah orang Felda saja rakyat Malaysia yang berhak dibantu, pesawah padi macam mana? Tak ada siapa nak peduli ke nasib pesawah," ujar seorang pesawah yang cakapnya seolah-olah mewakili beribu pesawah padi di negara ini. Mereka juga merupakan golongan yang 'irihati' dengan sikap kerajaan BN yang tidak putus-putus memberi perhatian untuk masyarakat Felda. 

 http://barisannasional.org.my/wp-content/uploads/2011/11/Gambar-pesawah-berkerja-di-sawah_-7-405x160.jpg
Mengapa pesawah kelihatan diketepikan oleh BN dalam usaha merebut sokongan dari rakyat? Sebabnya jelas juga, kerana pelaburan yang tinggi sekalipun belum tentu menjanjikan pulangan lumayan di kawasan sawah padi. Tan Sri Sanusi Junid menyebut teori 3P. Di mana ada padi, di situ ada pondok, di situ ada PAS. Sama ada suratan atau kebetulan ia boleh diguna pakai di Kedah. PAS kuat di hampir kesemua kawasan padi, manakala agak tidak terlalu kuat di kawasan getah dan pantai (nelayan). Majoriti pesawah padi adalah petani turun temurun. Mereka bukan peladang. Majoritinya mempunyai tanah sawah kurang dari 8 relong. Harga padi tidak pernah berubah sejak 1990, iaitu kali terakhir subsidi dinaikkan. Harga untuk satu tan padi yang dijual petani 22 tahun lalu tiada bezanya dengan harga sekarang, walhal kos pengeluaran padi bertambah berkali-kali ganda. Harga racun, baja, upah membajak, mengangkut, menuai semuanya bertambah. 

Sepanjang tempoh itu harga beras juga sudah naik berkali-kali. Di masa Tun Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri isu kenaikan harga padi pernah dibangkitkan, beliau memberi alasan bahawa kerajaan telah banyak memberi subsidi. Semacam satu ugutan, Tun Mahathir berkata, jika tidak mahu memikir kepentingan pesawah padi kerajaan boleh mengimport beras dari Thailand yang lebih murah. Kononnya baik sangatlah kerajaan Pusat dengan berkata, “...tetapi kerajaan tidak berbuat demikian.” Harga padi dalam negara satu Malaysia pun tidak selaras. Sekarang RM1050-RM1100 satu tan di Kedah, di Sekinchan RM1300 satu tan, di Perak RM1250.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgjUDwyR9xMdpPYuKixqRPTyzWbnj8RPGQ80NEgr04oo4jXhfu-GKJbN5XaIFsZaN_PCP-ZgM6cHcMXMBR8maB-i1VCYVT0xau8TwfpF-84JPkdSQhUdGW_DiIxl6GjxRBpeSImObBStW8/s1600/sawah.JPGNampaknya harga padi di Kedah yang terendah walaupun pengilang ramai di Kedah yang bersaing untuk mendapatkan belian. Antara rungutan petani juga ialah potongan padi basah dan padi hampa yang terlalu tinggi, antara 17 hingga 20 peratus. Pengilang mahu padi yang kering secukupnya supaya beras yang dihasilkan berkualiti. Sewaktu proses mengisar, beras terserap wap air juga lalu jadi berat. Sepatutnya janganlah potong banyak sangat, tapi siapa peduli rungutan petani. Kelapa sawit, getah dan padi merupakan hasil pertanian utama rakyat negara ini yang berkecimpung di bidang pertanian. Penoreh getah yang nasibnya tenggelam timbul sebelum ini, sekarang menikmati hasil hasil yang lebih baik dari pesawah padi. Padi jatuh tempat ketiga, sekalipun pengusaha kelapa sawit dan penoreh perlu makan nasi setiap kali keluar bekerja. 

Ada pihak yang mempersoalkan bagaimana Thailand yang mempunyai persamaan muka bumi dengan Malaysia mampu mengekspot beras, lebih murah pula, sedangkan Malaysia mengimpot sebahagian keperluan beras dari Thailand. Kita masih di takok lama, sedangkan segala teknologi itu boleh dipelajari di seberang sempadan. Bagaimana projek mega penyelidikan dan pembangunan (R&D) beras di Rompin? Belum menampakkan hasilkah? MARDI masih bertahan dengan benih MR219 dan MR220 yang sudah lebih 20 musim tidak bertukar. Ada juga yang mempersoalkan peranan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang bertanggungjawab terhadap punca penghasilan lebih 40 peratus beras dalam negara. 

Sejauhmana reformasi dan tranformasi berlaku dalam MADA kini, yang ditubuhkan sejak 42 tahun lalu? Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pun sudah kena reform juga, mesti jadi organisasi berteraskan produktiviti dan kebajikan petani, dan bukannya asyik menganjur ‘rombongan Che Kiah’ ke sana sini. BERNAS pula, sejak Muhyiddin Yasin memperkenalkan Pertanian Adalah Peniagaan sudah mengalih tumpuan kepada orientasi keuntungan sahaja. 

Hampir semua agensi yang berkaitan penghasilan padi nampaknya semacam melupakan nasib pesawah yang semakin hari semakin menderita. Pakatan Rakyat dijangka akan menaikkan subsidi padi 50 peratus dari RM248.10 kepada RM372.15 untuk satu tan. Keperluan subsidi untuk setahun hanya kira-kira RM1.5 billion, tidaklah terlalu besar untuk memufliskan negara seperti dakwaan para pemimpin BN. Yingluck Chinawatra menang dalam pilihanraya Thailand, antara sebabnya adalah kerana janji menaikkan harga padi. 

BN hanya nampak peneroka Felda dan melupakan pesawah padi. Jika janji yang sama dihulurkan oleh Pakatan Rakyat terhadap para pesawah, insya Allah PR boleh menang macam Yingluck.

No comments:

Post a Comment