Monday, April 2, 2012

Exco menggalakkan persatuan penduduk amal kitar semula

1 April 2012
Galak persatuan penduduk amal kitar semula
ALOR SETAR - Orang ramai terutama penghuni taman perumahan disaran mengamalkan kitar semula sebagai usaha memelihara alam sekitar selain menjana pendapatan untuk persatuan penduduk terbabit.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Industri dan Pelaburan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, usaha Kerajaan Pusat mengagihkan tong sampah percuma kepada penduduk merupakan langkah baik namun penduduk perlu memainkan peranan masing-masing.

"Penduduk sendiri seharusnya mengambil inisiatif mengasingkan sampah mengikut kategori, dan mengumpulkannya di satu tempat bagi memudahkan ia diangkut.

"Malah, persatuan penduduk boleh mengumpul sampah yang boleh dikitar semula dari rumah penduduk untuk dijual. Hasil jualan boleh dimasukkan ke dalam tabung aktiviti persatuan," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Tong Sampah Percuma di Taman Wira Mergong, hari ini.


Sementara itu, beliau berkata sama ada di kawasan bandar atau kampung, isu yang sering timbul ialah mengenai kutipan sampah dan pembersihan awam termasuk pemotongan rumput dan pembersihan longkang.
"Jika perkara ini dapat diselesaikan, faktor kesejahteraan penduduk di kawasan taman terjamin, tidak lagi perlu berhadapan dengan masalah bau busuk disebabkan sampah tidak dikutip.

"Malah, ia mungkin boleh mengelakkan berlaku banjir kilat disebabkan longkang dan saliran yang tersumbat," katanya.

No comments:

Post a Comment