KUANTAN - Umat Islam wajib mendekati, mempelajari dan menghayati Al-Quran untuk membendung diri daripada terjebak dengan perkara mungkar yang ditegah syariat.
Iman Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Sharafuddin Aisa Osman berkata, individu Islam yang dekat dengan Al-Quran akan mengawal hawa nafsu mereka, sentiasa berfikir dan mendapat hidayah ALLAH SWT.\
Menurutnya, alasan tidak tahu membaca Al-Quran tidak sepatutnya dijadikan sebab untuk menjauhkan diri dengan kitab suci itu.
“Sebagai umat Islam, mereka wajib mempelajari dan memahami Al Quran dengan baik serta mempraktikkan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian Sijil Sesi 2012 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini, semalam.
Sharafuddin berkata, Masjid Negeri menyediakan kelas Al-Quran kepada golongan dewasa untuk belajar dan mendalami ilmu Al-Quran.
“Ia meliputi kelas Talaqqi, lanjutan, pertengahan, Iqra’ dan Taranum dibawah bimbingan 23 guru berpengalaman,” katanya.
Menurutnya, sambutan orang ramai terhadap kelas Al-Quran yang disediakan Masjid Negeri mula menunjukkan peningkatan sekali gus menggambarkan kesedaran umat Islam di negeri ini terhadap kewajipan itu.
“Ramai kakitangan kerajaan dan swasta mendaftar untuk mengikuti kelas yang disediakan dan mereka berjaya menamatkan pengajian (khatam) hari ini (semalam).
“Bagaimanapun, sambutan dalam kalangan golongan muda agak mengecewakan kerana tidak ramai yang mendaftar untuk mengikuti kelas yang disediakan,” katanya.
Dalam majlis itu, seramai 542 pelajar yang mengikuti kelas sejak lima hingga enam tahun lepas menamatkan pengajian masing-masing.
“Daripada jumlah itu, 130 pelajar kelas Talaqqi, 72 pelajar kelas lanjutan, 117 pelajar kelas pertengahan, 175, Iqra’ dan 48 dari kelas Taranum,”katanya.
No comments:
Post a Comment