ANAK BUKIT, 5 April 2012 – Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak melahirkan rasa gembira dan syukur kehadrat Allah di atas perlantikan semula dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi dan YB Dr Ismail Salleh sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
“Saya berasa sangat gembira kerana dua orang exco ini dapat bersama semula dan kami akan berpadu tenaga dalam satu kumpulan untuk memantapkan Kerajaan Kedah.
“Kita akan memperkemaskan saf agar menjadi lebih kuat dan sebarang anggapan negatif yang timbul sebelum ini akan dianggap semuanya positif,” jelasnya ketika sidang media sejurus Majlis Angkat Sumpah selesai.
Berikutan perlantikan tersebut, beliau memaklumkan portfolio Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga diserahkan kepada YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi sementara Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi diserahkan kepada YB Dr Ismail Salleh.
“Tidak timbul sedikit atau banyak, pertukaran portfolio adalah perkara biasa. Lagi pun PBT bukan satu benda yang kecil. Kita mempunyai 12 daerah yang perlu dikendalikan dan ianya boleh diibaratkan sebagai satu kerajaan.
“PBT perlu diberi tumpuan khas kerana kuat PBT kuat kerajaan,” kata beliau menjawab pertanyaan pemberita yang mengatakan portfolio YB Dato’ Phahrolrazi agak kecil dan sedikit.
Tegas beliau lagi, pertukaran Exco dan portfolio berlaku setahun sekali dan ianya menjadi perkara biasa kepada mereka. Pertukaran dibuat mengikut kesesuaian dan kebolehan di samping mengambil kira hal-hal lain demi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.
“Mereka berdua adalah pembantu saya samada dalam kerajaan mahu pun parti. Portfolio mereka dikurangkan juga untuk memberi laluan kepada mereka menumpukan kerja-kerja pilihanraya yang akan datang,” sambungnya.
Ikutan pertanyaan kononnya terdapat perbezaan pendapat antara beliau dan Exco-exco lain, beliau menjawab, perkara tersebut adalah perkara biasa dalam pentadbiran . Walau bagaimana pun apabila berada dalam satu kumpulan, perlu patuh kepada ketua kerana ianya etika yang perlu dihormati agar perjalanan pentadbiran menjadi teratur dan licin.
“Bila timbul pendapat yang bertentangan, kita perlu perjelaskan dan bagi saya semua ini perkara biasa. Sedangkan Tun Dr Mahadir pun berkelahi dengan Musa Hitam, Ghafar Baba dan pecat Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” tambah beliau.
Apabila disentuh mengenai perlantikan Exco kanan, Azizan berkata, tiada masalah Exco kanan atau sebaliknya kerana ianya bukan jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar, malah ianya hanya berfungsi sebagai pengganti beliau untuk menghadiri sesuatu majlis sekiranya beliau keuzuran.
Majlis Angkat Sumpah berkenaan diadakan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit dan disempurnakan oleh YTM Tunku Bendahara Kedah.
No comments:
Post a Comment