Sunday, April 1, 2012

Temasya Sukan Sungai ke 81 meriah.. Tuanku serta PM dan MB Kedah memeriahkan majlis..

ALOR SETAR - Bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ke 84, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, kerajaan negeri sekali lagi menganjurkan Temasya Sukan Sungai 2012 kali ke 81.

Semasa temasya tersebut orang ramai terpukau apabila sembilan anggota tentera membuat terjunan dari ketinggian 8 ribu kaki ke arah sungai dan mereka juga terkejut apabila melihat dua buah kereta perisai kondor melepaskan tembakan ke arah kubu pertahanan berupa bangunan putih di Tanjung Chali untuk menggempur pengganas bagi menyelamatkan tebusan.

Dalam gimik pelancaran kali ini menyaksikan anggota tentera bertindak pantas menyelamatkan seorang pembesar yang dijadikan tebusan.

Akhirnya usaha mereka berjaya apabila kubu pertahanan berjaya ditawan dan tebusan dibawa menaiki bot dengan membawa dayung untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pada peringkat akhir temasya ini sebanyak sembilan kategori dipertandingkan dan menyaksikan pasukan Brunei muncul juara bagi ketegori Perahu Naga Jemputan Antarabangsa Medal B, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juara bagi kategori pasukan beruniform dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pula juara bagi ketegori Jabatan Kerajaan/Badan Berkanun.

Manakala johan bagi ketegori Jabatan Agama Islam/Pejabat Zakat adalah jabatan zakat dan bagi kategori Istana Anak Bukit/Wisma Darul Aman/Yayasan Sultanah Bahiyah dimenangi oleh Wisma Darul Aman.
Selain itu, Indonesia juara bagi kategori Perahu Naga Jemputan Antarabangsa Medal A, Pegawai Tadbir Negeri Kedah juara bagi ketegori pegawai tadbir dan Daerah Pokok Sena juara bagi ketegori daerah.

Akhirnya acara kemuncak pada hari itu, menyaksikan pertandingan tiga penjuru, kategori juara antara juara iaitu di antara MADA, PDRM dan Daerah Pokok Sena. Setelah ketiga-tiga pasukan berentap akhirnya keputusan memihak kepada MADA.

Hadiah pada hari tersebut disampaikan sendiri oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Antara yang hadir ialah Pengerusi serta Ahli-ahli Majlis Pemangku Raja, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak, para anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah serta lain-lain kenamaan.

No comments:

Post a Comment