Saturday, October 6, 2012

Seratus Untuk Aku, Satu Untuk Kau

Oleh: Shirzad Lifeboat

Sebagai seorang yang tergolong dalam ‘golongan pendapatan pertengahan bawah’ (lower middle income group), sebagaimana biasa petang Jumaat tanggal 28 September 2012 itu saya makan tengahari sekaligus minum petang.

Dalam keadaan kehidupan cukup terdesak – ini itu perlu dibayar, ini itu dah naik harga – maka cara terbaik ialah makan tengahari pada waktu minum petang atau sarapan pada waktu makan tengahari.

Saya tidak keseorangan. Malah sebenarnya, inilah cara rakyat dalam golongan ini dan golongan berpendapatan rendah berbajet hasil dari Bajet tahun terdahulu dan tahun-tahun sebelumnya.

Dengan demikian, apabila saya menerima sms dan e-mel, atau ditanyakan pendapat tentang Bajet 2013, tak dapat banyak din nak ulas kecuali nampaknya selepas ini kita lagi kena bajet giler.

Sambil makam nasi berlaukkan sambal belacan, timun dan telur dada dan menghirup teh bujang, sesekali saya mengalihkan pandangan ke skrin TV dan menyaksikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, yang membaca teks ucapan belanjawan dan mengumumkan itu dan ini ibarat seorang dewa kewangan’ yang turun dari kayangan dan berkuasa menukarkan raksa (mercury) kepada emas.


Sebenarnya tanpa mengikuti ucapan tersebutpun ramai sudah tahu apakah yang terkandung dalam stor untuk mereka. Sesuatu yang pasti, selain dari sedikit usaha minima bagi mengampu golongan yang berpotensi untuk memangkah BN pada pilihanraya umum nanti, perkara lain tidak berubah.

Yang nyata, walau apapun yang akan berlaku, kerajaan BN tidak akan berganjak walaupun seincipun bagi melakukan perubahan ketara ke atas struktur cukai dan juga pelbagai duti eksais yang dirasakan lubok emas bagi memperolehi tunai.

Kalau adapun bersifat batuk ditangga ialah pengurangan cukai pendapatan sebanyak 1 peratus bagi mereka yang menerima pendapatan tertentu (iaitu pendapatan yang boleh dikategorikan dalam kelas pendapatan pertengahan).

Dalam pada segala puji-pujian dicanangkan oleh para pengampu dari setiap pelusuk, termasuk yang bernaung di menara gading, ada juga suara entah siapa yang mengatakan pengurangan cukai pendapatan tersebut adalah langkah bijak kerajaan dalam memberikan kusyen kepada kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikata bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Nak tergelakpun ada. Cukai barangan dan perkhidmatan ini biasanya dikenakan oleh negara bertaraf maju di mana sebahagian besar rakyatnya tidak terperangkap dan seolah-olah disumpah merengkok dalam penjara golongan pendapatan pertengahan.

Janganlah kerana Singapura sudahpun menguatkuasakan cukai ini lama dulu, maka kita pun nak tiru. Singapura sudah melaksanakan pelbagai dasar buruh yang menguntungkan rakyat dan golongan pekerja termasuk undang-undang gaji minima lama dulu dan pendapatan asas budak pejabatnya sama atau lebih dari gaji graduan yang baru bekerja dan manakala gaji kerani mereka sama dengan purata gaji eksekutif di Malaysia.

Di Singapura, kalau harga barang naik sekalipun, rakyat mereka mengambil sikap lantaklah sebab mereka berpendapatan tinggi. Setelah tolak itu ini serta kos sara hidup lain, masih lagi ada wang berbaki dalam bank. Rakyat dan pekerja kita, apa ada. Ramai yang baki akaun simpanan kurang dari RM10 atau baki minima yang perlu ditinggalkan bagi pemegang kad ATM.

Hakikatnya bajet Malaysia yang sepatutnya menggambarkan secara jelas tentang kedudukan ekonomi negara dalam sebutan ekonomi dan taraf hidup rakyat, lebih lazim dari tidak, adalah seolah-olah satu pertunjukkan silap mata. Perihal pelbagai cukai dan duti yang menjerat leher rakyat tidak banyak berubah. Kalau berubah sekalipun adalah ke arah penambahan dan bukannya pengurangan.

Peruntukan insentif dan subsidi pula adalah sekadar jangan tak ada atau semakin berkurangan. Kini di era Datuk Seri Najib Tun Razak sudah muncul pula item atau butiran baru dalam Bajet – pemberian one-off. Mudah untuk melihat bagaimana pemberian one-off ini tidak akan menghasilkan sebarang impak kepada peningkatan ekonomi golongan yang layak mendapat pemberian one-off berkenaan kecuali ‘rambutan runtuh’ yang boleh digunakan untuk shopping kecil-kecilan.

Kepelikan pemberian/pembayaran one-off ini menyebabkan ramai bertanya: “Apakah ini ekonomi?” Namun, dalam sebutan Bajet, sukar untuk memahami di manakan sebenarnya terletak ‘ekonomi negara’ serta prestasinya? Apakah ia terletak kepada angka RM49.7 bilion peruntukan pembangunan atau kira-kira 20 peratus dari keseluruhan jumlah Bajet RM251.6 billion (peratus lazim bagi kebanyakan Bajet Malaysia)?

Atau apakah ia terletak kepada peruntukan untuk perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM33.7 billion? Atau kombinasi kedua-dua peruntukan – pembangunan dan perkhidmatan dan bekalan – di mana jumlahnya adalah RM83.4 (33.14 peratus) dari keseluruhan angka Bajet 2012?

Tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang peruntukan belanja mengurus. Namun bagaimanapun peruntukan pembangunan dan perkhimatan/bekalan inilah yang paling terbuka dan paling memberikan impak kepada ekonomi individu tertentu (walaupun tidak pasti bagaimanakah impak sebenarnya terhadap rakyat dan negara).

Dan sebagaimana lazimnya, inilah yang terbaik mampu dilakukan oleh kerajaan BN untuk negara dan rakyat. Jika dalam filem Nujum Pak Belalang, dua orang lanun membahagikan harta rompakannya, “satu untuk aku, satu untuk kau”, maka dalam Bajet negara Malaysia di bawah pentadbiran BN, “seratus untuk aku, satu untuk kau.”

No comments:

Post a Comment