Showing posts with label Kastam. Show all posts
Showing posts with label Kastam. Show all posts

Saturday, April 23, 2011

Kes Sarbani: Laporan Polis Tidak Lengkap, Keluarga Tunggu Respons Peguam Negara

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mahu melihat respons Peguam Negara berhubung laporan siasatan polis mengenai kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu bagi menentukan tindakan susulan pihaknya.

Peguam keluarga itu Ghazali Mohd Ramli berkata, sebarang tindakan lanjut bergantung pada keputusan Peguam Negara setelah menilai kertas siasatan yang akan diserahkan polis berhubung kematian Ahmad Sarbaini.

Ahmad Sarbaini ditemui meninggal dunia di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala.

“Tindakan sewajarnya akan diambil apabila diputuskan oleh pihak Peguam Negara berdasarkan laporan hasil siasatan polis.

“Setakat ini saya masih tidak boleh nak cakap apa-apa lagi, saya pun tidak tahu apa laporan itu... jadi kita tunggu keputusan Peguam Negara dulu,
” kata Ghazali kepada The Malaysian Insider.

Jelas Ghazali, beliau tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan bagi mengelakkan berlaku sebarang campur tangan dalam siasatan polis.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku, apa yang kita tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi sebab apa dia jatuh kita tidak tahu.

“Apa yang kita tahu banyak spekulasi sahaja, kita tidak ada maklumat dan saya percaya polis tahu apa yang berlaku... apa-apa kita tunggu sahaja keputusan Peguam Negara,” kata beliau.

Kelmarin, polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.

Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Awal pagi semalam, The Malaysian Insider melaporkan keluarga Ahmad Sarbaini tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis sambil mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh untuk mengetahui sebab-sebab kematian bapa lima anak itu.

Sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini berkata, pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana nampaknya ia tidak dibuat secara menyeluruh selain nampaknya mahu “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum
.

Ahmad Sarbaini merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain. -TMI

Ulasan GB

Aneh, bagaimana polis boleh meminta rakyat berhenti dari membuat spekulasi sedangkan laporan polis itu tidak lengkap. Tidak dinyatakan bagaimana apa yang dikatakan "kemalangan" itu berlaku.

Semalam GB katakan:

Ia memang sudah dijangka dan polis sejak dari hari pertama kejadian "sudah pun" membuat rumusan sedemikian.

Laporan yang dikatakan telah lengkap itu sebenarnya tidak lengkap. Tidak komprehensif. Ia mengulangi siasatan polis di dalam kes Teoh Beng Hock.

Ahmad Sarbani dikatakan "mati kemalangan". Tergantung. Kemalangan disebabkan apa? Tanpa sebab?

Apakah kerana tergelincir? Terjun sendiri? Ditolak? Dicampak? Itu semua kena ada di dalam kertas siasatan. Sekarang NIL.

Thursday, April 21, 2011

Mati punca kemalangan jadi skrg kemalangan pasai apa pulak...???

Sah Sarbani mati akibat kemalangan


ZULKIFLI memeriksa perbarisan Hari Kor Kadet Polis ke-41 di Astaka Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kuala Lumpur di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lepas adalah disebabkan kecederaan parah selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, rumusan mengenai punca kematian mangsa adalah hasil siasatan menyeluruh yang membabitkan pihak polis, hospital, Jabatan Kimia dan Jabatan Patalogi.

Menurut beliau, pasukan penyiasat juga menggunakan kaedah tertentu termasuk lakonan semula oleh pelagak ngeri bagi membantu mendapatkan hasil penemuan mengenai punca kematian Ahmad Sarbani yang bertugas di Unit Import dan Eksport Kastam Pelabuhan Klang.

“Menerusi siasatan pelbagai sudut itu, kami dapati kematian mangsa selari dengan kecederaan akibat impak jatuh dari tempat tinggi,” kata beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Ulang Tahun Hari Kor Kadet Polis ke-41 di Astaka Tasik Titiwangsa di sini semalam.

Sunday, April 10, 2011

Kesatuan Kastam: Bersihkan nama Sarbani, jangan dakwa ‘bunuh diri’

Ibrahim Ahmad menjawab soalan pemberita selepas pertemuan dua jam di Kelana Jaya petang tadi. — Foto oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 8 April — Kesatuan Kastam memutuskan untuk mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mahu nama agensi itu dibersihkan selepas seorang penolong pengarahnya, yang disoal siasat di bawah Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM.

Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung juga mahu SPRM membuat penjelasan mengenai kematian Ahmad Sarbani Mohamed di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane kelmarin dan membersihkan namanya daripada dilabel “kes bunuh diri.”

“Kami berharap nama Sarbani akan dibersihkan daripada perkataan bunuh diri,” kata presidennya Ibrahim Ahmad kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira dua jam dengan Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja awam itu di Kelana Jaya dekat sini.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Persatuan Pengawai-pegawai Kanan Kastam, Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Sarawak

“Kami mahu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk dapatkan penjelasan dan membersihkan nama Kastam,” kata beliau.

“Kami juga mahu bertemu dengan ketua SPRM dan dapatkan penjelasan dan apa yang SPRM mahu lakukan selepas ini,” kata Ibrahim.

Beliau juga meminta SPRM supaya bertindak profesional dalam proses soal siasat mereka dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan ke atas saksi dan suspek.

Ibrahim juga berkata, adalah tidak adil bagi SPRM menyasarkan pegawai-pegawai Kastam berhubung laporan kehilangan hasil cukai negara, didakwa RM108 bilion setiap tahun.

“Kami secara konsisten mengemukakan laporan hasil kami dan setiap tahun kami memperoleh sekitar RM28 bilion, jadi adalah tidak logik untuk kami bertanggungjawab bagi (kehilangan) RM108 bilion,” kata beliau.

Ahmad Sarbani ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di sini kelmarin.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai RM3 bilion.

Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Semalam, Najib mengarahkan polis dan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Ahmad Sarbani.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut.

Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini.

Thursday, April 7, 2011

Justice for Ahmad Sarbani....

Apabila mayat mendiang Teoh Beng Hock didapati tertiarap di atas bumbung berhampiran kaki Plaza Masalam di Shah Alam iaitu bangunan yang menempatkan SPRM Selangor, ramai yang terkejut. Beng Hock ketika itu adalah Setiausaha Sulit kepada ahli EXCO dan Pengerusi DAP Selangor ketika itu Ean Yong.

Tetapi oleh kerana atas sebab-sebab tertentu yang saya percaya didorong kuat oleh alasan politik maka kita dipaparkan dengan kemungkinan kononnya mendiang jatuh atau bunuh diri.

Dan terkadang saya mungkin keterlaluan tetapi dapat mersasai ia bertukar menjadi isu perkauman. Seolah nyawa seorang hamba Allah tidak berharga semata-mata kerana beliau seorang bukan Melayu bukan Islam dan datang pula dari parti politik yang bukan Umno bukan BN. (kiri gambar dari sebuah portal berita menunjukkan Tan Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor menyentuh keranda Allahyarham Ahmad Sarbini)

Lantaran itu tiadalah menyeluruh sentimen rakyat dalam isu ini. Masyarakat Cina saya yakin tersinggung dan kecewa sehingga insiden ini mempengaruhi beberapa pkeputusan pilihanraya kecil apabila masyarakat ini terbabit sebagai pengundi. Tetapi bagi masyarakat Melayu ia sekadar dijinjing oleh orang-orang PAS, yang lain cuma panjang remeh .

Hari ini Suruhanjaya Diraja yang menyiasat akibat kematian mendiang masih bersidang.

Dengan takdir Allah swt tiba-tiba kita berhadapan dengan satu lagi insiden yang sama. Juga di kaki bangunan SPRM. Yang meninggal kali ini ini seorang pegawai kastam berbangsa Melayu. Pegawai yang dikatakan sedang disiasat oleh SPRM atas pertuduhan rasuah tiba-tiba didapati meninggal dunia secara mengejut. Ramai khasnya kaum keluarga dan kenalan Allahyarham marah dan tidak puas hati apabila punca kematian dikataka bunuh diri.

Sama seperti mendiang Beng Hock kematian ini mahu disimpulakn sebagai bunuh diri sedangkan mereka yang rapat dan mengenali Allahyarham tahu bahawa Allahyarham seorang yang baik pekertinya, warak tak mungkin mahu membunuh diri walau tertekan bagaimana pun.

Kini apa yang dilalui oleh kaum keluarga dan kenalan Beng Hock turut ditanggung oleh kaum keluarga dan kenalan Allahyarham. Saya mendoakan agar sentimnt orang-orang Melayu terus bangkit dan menuntut keadilan untuk Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed.

Jika dulu lantang kedengaran “Justice for Teoh Beng Hock” sekarang mari kita bangkit dan tuntut “Justice for Ahmad Sarbani”

Mari kita tuntut keadilan ini kerana semalam Beng Hock hari ini Ahmad Sarbani dan esok lusa entah siapa lagi. Rakyat tidak harus membenarkan kematian seumpama ini berlaku sedang kalau didapati bersalah sekalipun kedua-dua hamba Allah ini tidak akan diihukum gantung sampai mati! Bayangkan jika mereka tidak bersalah.

Alfatihah.

Roslan SMS,