Isu harga bawang beban semua pihak

PEKAN SIK - Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai mendapati harga bawang mengalami kadar kenaikan yang amat ketara hingga membebankan semua pihak dan difahamkan senario ini sebenarnya sudah bermula semenjak musim perayaan Krismas lagi.
Salah seorang pengguna, Siti Korijah Mohd, 29, berkata, kenaikan harga bawang turut dirasainya apatah lagi sebagai salah seorang penjual nasi lemak dia terpaksa menggunakan banyak bawang besar untuk membuat sambal.
Katanya, dia sendiri terkejut kerana sejak akhir-akhir ini, harga bagi sekilo bawang besar adalah RM5 berbanding harga pada tahun lepas kebiasaannya sekitar RM2.50 hingga RM3 bagi jumlah yang sama.
“Kenaikan harga bawang sememangnya memberi kesan kepada kami terutamanya peniaga nasi lemak secara kecil-kecilan kerana perlu mengeluarkan modal yang lebih tinggi daripada biasa.
“Macam mana kami nak dapat untung lebih sedikit sekiranya harga modal tinggi, tetapi pulangan jualan tidak banyak mana kerana jika harga nasi lemak dinaikkan sedikit, pelanggan akan merungut sedangkan kami sendiri yang tersepit,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, beberapa peniaga yang ditemui turut mengemukakan keluhan serupa berikutan harga barang mentah meningkat mendadak dan mereka juga tidak sampai hati menjual harga terlalu tinggi kepada pengguna.
Salah seorang peniaga, Siti Natrah Abd Rahim, 23, turut mengakui kenaikan mendadak harga barang keperluan terutamanya bawang dan minyak mentah di kedainya sendiri masih terputus bekalan.
“Saya mula terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan semenjak dua tahun lepas, tetapi sejak kebelakangan ini kadar kenaikan harga barang sukar dijangka dan kami perlu bersiap sedia dari awal.
“Antara barangan yang mengalami kenaikan harga seperti bawang besar dijual dengan harga sekilo RM5, bawang putih sekilo RM10, bawang India sekilo RM8 sehingga ke hari ini (semalam), “ katanya.
Sementara itu, peniaga, Mohd Faiz Ali, 21, berkata, dia juga mengalami situasi yang sama dan seguni bawang ini juga terpaksa dibeli dengan harga tinggi bergantung kepada jenis bawang, ada antaranya mencecah hingga ke RM42 seguni berbanding dahulu RM38.
“Harga satu guni bawang besar kini diperoleh dengan harga RM17, sedangkan dahulu dibeli dengan harga RM10.30, termasuk juga dengan harga bawang yang lain dan keadaan ini sememangnya memberi tamparan hebat kepada kami sebagai usahawan muda.
“Harga bawang merah dijual berbeza mengikut jenis, bawang merah dari jenis Siam mengalami kenaikan dari RM6 ke RM10 sekilo, manakala bawang merah jenis India dari RM4 ke RM6,” katanya.
Menurutnya, pihak berkenaan perlu memantau kadar kenaikan harga berkenaan dengan membuat pemeriksaan bermula dari peringkat pengeluar termasuk pasaraya besar.
No comments:
Post a Comment