Monday, January 10, 2011

PR yakin menang di DUN Tenang

SEREMBAN – Kemungkinan perlawanan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari ini, dikatakan sedikit pun tidak menggugat sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat (PR).

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook berkata, pihaknya yakin masyarakat akan terus menyokong PR, sekali gus memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka.

Menurutnya, keputusan G Sivanandan, 50, yang mahu bertanding sebagai calon Bebas tidak akan memberi kesan kepada calon Pas.

“Masyarakat kini semakin bijak. Mereka tidak akan memilih individu yang tiada kekuatan dalam parti secara jelas, berbeza dengan calon PR yang sudah pastinya mempunyai nama dan mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat.

“Malah saya yakin, PR dapat menewaskan Barisan Nasional (BN) dengan cemerlang pada pilihan raya kecil kali ini," katanya.
Siew Fook berkata, DAP Negeri Sembilan akan menghantar pasukan khas ke DUN Tenang bagi membantu jentera Pas berkempen di sana.

“Kami yakin, kali ini PR akan merampas kerusi di DUN Tenang berikutan penerimaan masyarakat terhadap PR semakin baik,” katanya.

Sebelum ini, Sivanandan yang juga pemimpin tempatan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Ladang (NUPW) berhasrat bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan bagi mewakili suara hampir 800 pengundi berdaftar dalam kalangan pekerja ladang di DUN Tenang.

No comments:

Post a Comment