Tuesday, January 25, 2011

Kelahi punya hal

GEORGETOWN - Jangan nak bergaduh sesuka hati tanpa mengambil kira keadaan sekeliling kerana ia boleh membawa padah jika berlaku di tempat awam.

Dua lelaki masing-masing didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah bergaduh di kawasan stesen minyak Caltex, Bandar Baru Farlim sehingga menarik perhatian orang ramai dan mengganggu ketenteraman awam November lalu.

Danial Yeng Shaifullah, 25, dari Jalan Burma dan Sim Chun Pin, 20, dari Payang Terubong, Air Itam membuat pengakuan bersalah di depan Majistret Noor Aini Yusof selepas pertuduhan dibacakan.

Noor Aini berkata, kedua-duanya juga boleh dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana mengganggu keamanan dengan bergaduh di tempat awam iaitu di stesen minyak Bandar Baru Air Itam, di sini, kira-kira jam 5.45 pagi 10 November lalu, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dengan perbuatan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan itu sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahannya.

No comments:

Post a Comment