
Beliau yang merupakan Dekan Kuliah Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berkata, penghargaan yang diberi bukan untuk mendabik dada sebagai tokoh agama, sebaliknya perlu melaksanakan tanggungjawab memastikan kesucian agama Islam dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak tercemar.
“Saya bersyukur dan terharu kerana diberi penghargaan tertinggi oleh Kerajaan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan ianya amanah besar rakyat Kedah yang perlu ditunaikan,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, Kuin semalam.
Dr Abdul Aziz berkata, semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, sektor awam dan swasta perlu memainkan peranan dan menjalinkan koordinasi rapat memastikan perpaduan ummah terjalin erat.
Beliau sebelum ini pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Kolej Islam Darul Ulum (Kidu) selama tujuh tahun bermula tahun 2000 hingga 2007 di samping pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Syariah di Institut Pengajian Islam Brunei Darussalam pada 1989 hingga 1999.
Selain itu, Dr Abdul Aziz juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada Mac 2010 dan Pakar Perunding Syariah di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pada November 2010.
Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Imam Negeri Kedah, Abdul Wahab Che Li, 60, bersyukur di atas penghargaan yang diterima dan berazam lebih mendekatkan diri dengan masyarakat bagi membolehkan nilai murni Islam dipupuk.
Menurutnya, sepanjang lebih 40 tahun perkhidmatannya sebagai pegawai masjid dan guru Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) di Ulu Tawar, Baling, pelbagai suka duka dirasainya dan beliau menyifatkan semua pengalaman itu pendorong untuknya lebih bekerja keras menyebarkan ajaran Islam.
Abdul Wahab yang bertugas sebagai guru Kafa di Ulu Tawar, Baling sejak 1981 sebelum ini dilantik sebagai imam bertauliah sejak 16 tahun dahulu.
Beliau juga pernah dinobatkan sebagai johan qari negeri Kedah pada 2005 dan mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan pada tahun sama.
Pada 2008 pula, beliau diisytiharkan sebagai Guru Cemerlang Kafa daerah Baling sebelum terpilih menerima anugerah guru cemerlang peringkat negeri Kedah pada tahun sama.
Terdahulu dalam majlis itu, Tuanku Abdul Halim berkenan mencemar duli untuk menyampaikan kedua-dua anugerah itu kepada Dr Abdul Aziz dan Abdul Wahab.[Sinar Harian]
No comments:
Post a Comment