Wednesday, February 16, 2011

Sultan Kedah - Bahaya bercanggah akidah



ALOR SETAR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memberi amaran percanggahan akidah dan ideologi yang tidak terkawal dalam masyarakat boleh menyebabkan timbulnya perpecahan dan huru-hara dan akhirnya meruntuhkan sesuatu pemerintahan.

Baginda bertitah, sejarah perlembagaan Islam juga mencatatkan bahawa punca percanggahan akidah menjadi punca kepada hilangnya perpaduan dan akhirnya matlamat utama agama Islam untuk memberi kesejahteraan ummah terhapus.

“Dengan adanya sambutan Maulidur Rasul SAW yang diadakan setiap tahun, bolehlah kita menghitung dan menghayati pengorbanan Baginda demi kesejahteraan umat manusia dan nikmat iman dan Islam adalah merupakan nikmat yang tidak terhingga dan paling berharga yang diberikan kepada kita.

“Perhimpunan kita hari ini (semalam) yang menggabungkan pelbagai lapisan masyarakat jelas membuktikan umat Islam itu bersatu dan berpegang teguh pada konsep persaudaraan Islam sebagaimana dianjurkan Rasulullah SAW.

“Beta yakin dan percaya selagi umat Islam berpegang teguh dengan konsep itu, selagi itulah umat Islam akan bersatu padu, hormat-menghormati satu sama lain dan berganding bahu dalam usaha memajukan masyarakat,”

Titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah bertemakan ‘Kita Adalah Ummah Yang Satu’ di Dewan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) semalam.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Sultanah Hamidah Hamidun.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Exco Pelajaran, Agama dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rasli Basir dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Kharudin Zain.


Baginda bertitah, agama Islam adalah agama yang suci dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan untuk menzahirkan rasa kasih sayang kepada Baginda lebih daripada kasih sayang yang lain adalah dengan membuktikan keluhuran iman dalam hati masing-masing melalui penyempurnaan tanggungjawab terhadap suruhannya dan menjauhi larangannya.

Titahnya, sesungguhnya tertegak agama Islam adalah hasil pengorbanan Rasulullah dan sahabatnya, dengan penuh kesabaran dan mempunyai semangat yang kental untuk berjihad dalam menegakkan agama Islam kerana Baginda pembawa rahmat ke seluruh alam.

“Dengan demikian, tidak wajarlah kita mengundurkan diri dari perjuangan yang dimulakan Baginda dalam menegakkan syiar Islam di atas muka bumi Allah ini.

“Hari ini, adalah menjadi giliran kita sebagai umat Islam untuk menyambung tugasan itu yang menjadi satu kewajiban untuk ditunaikan,” titah baginda.[sinarharian]

No comments:

Post a Comment