Wednesday, April 6, 2011

GUAR CHEMPEDAK – ‘Saya minta maaf’

GUAR CHEMPEDAK – Kenyataan yang dikeluarkan penduduk, Abdul Manan Khan Arshad Ahmad berkenaan peruntukkan wang yang diberikan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM160,000 bagi pembinaan Surau Haji Hussin Dol adalah tidak benar dan masih dalam perancangan.

Abdul Manan berkata, beliau menarik balik kenyataan yang diberikannya berkenaan peruntukkan itu dan memohon maaf kepada semua yang terlibat dengan pengurusan surau itu.

“Saya menarik kembali kenyataan yang saya keluarkan mengenai peruntukkan itu dan saya ingin memohon maaf kepada semua yang terlibat dengan pentadbiran surau, perkara ini terjadi kerana terdapat sedikit kesilapan teknikal.

“Saya tiada sebarang niat pun sama ada untuk menjatuhkan atau mempermainkan sesiapa, saya hanya berniat untuk mencantikkan surau bagi keselesaan pengunjung yang datang untuk menunaikan amal ibadat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Surau, Alias Muhamad berkata, setakat ini sebarang peruntukkan untuk surau ini masih belum ada.

“Buat masa sekarang masih belum ada sebarang peruntukkan kerana saya belum mengemukakan permohonan secara rasmi untuk pembinaannya kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan memang ada memberi peruntukkan tetapi untuk Surau Kampung Baru lebih kurang RM150,000.

“Abdul Manan bukanlah wakil surau dan pihak saya tidak pernah melantiknya sebagai wakil untuk bercakap mengenai hal-hal surau,” katanya.

Menurutnya, antara mereka yang terlibat dengan pentadbiran surau ialah pengerusi bersama iaitu Ahmad Hishamuddin Abd Rahim dan Najah Hassan, bendahari, Mohd Nazri Abd Rahman dan ahli jawatankuasa (AJK), Muhammad Tajuddin Zakaria.

“Buat masa sekarang saya sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri dan segala perancangan berkenaan pembinaan surau masih dalam perbincangan.

“Kita masih belum ada keputusan muktamad sama ada bangunan ini akan dibina dua tingkat ataupun tiga, tetapi kita akan cuba bina dewan, bilik penginapan untuk musafir, ruang pejabat dalam erti kata lain kita akan menstrukturkan semula keseluruhan bangunan ini,” katanya.

Alias berkata, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana wakil sebagai jurucakap ataupun memungut derma bagi pihak surau.

“Perkembangan terkini, surau ini mendapat sumbangan daripada Kerajaan Negeri untuk pengurusan sebanyak RM2,500,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga katanya, memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi Sekolah Agama Rakyat dan pondok di seluruh negeri ini.

Beliau juga berkata, pihaknya menjangkakan pembinaan semula surau itu memerlukan belanja RM1 juta dan jika sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan boleh berhubung terus dengannya melalui talian 012-4492236.

No comments:

Post a Comment