Tuesday, May 17, 2011

14 kerusi PR belum diagih

ALOR SETAR - Pakatan Rakyat (PR) Kedah masih belum menemui formula terbaik untuk pengagihan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu, kerana belum dibincangkan dalam Jawatankuasa Rundingan PR.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Senator Zamri Yusuf berkata, setiap parti akan mengemukakan cadangan sebelum dipersetujui di peringkat Majlis Presiden Pusat (MPP) sekiranya wujud pertindihan tuntutan terhadap mana-mana 14 kerusi terbabit.

“Beberapa siri rundingan dibuat namun, belum mencapai kata putus dalam agihan 14 kerusi itu. Yang pasti, kerusi yang dimenangi oleh parti bertanding sebelum ini kekal pada parti berkenaan dan tidak wujud pertikaian,” katanya.

Pada PRU-12 lalu, PR menang 22 kerusi DUN, iaitu Pas (16), PKR (5) dan DAP (1). Manakala 14 kerusi menjadi milik BN (12) dan bebas (2).

Zamri berkata, PR akan mencari formula terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak pada PR pada PRU-13 kelak, berikutan itu 14 kerusi DUN terbabit masih dalam peringkat perbincangan bagi memilih calon wakil PR.

“Kita akan bincang siapa layak menjadi wakil PR dalam PRU-13 sebab tidak dinafikan wujud pertindihan tuntutan terhadap beberapa kerusi, antaranya Derga dan Bakar Bata. Setelah persefahaman peringkat negeri dicapai, cadangan itu akan dikemukakan pada MPP untuk diputuskan,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran PKR untuk bertanding dalam PRU-13, Zamri berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengekalkan kemenangan di lima kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen, di mana pada PRU-12 lalu, PKR meletakkan calonnya di 11 kerusi DUN dan tujuh kerusi Parlimen.

“PKR menang di Padang Serai, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani dan Kulim Bandar Baharu bagi kerusi Parlimen, tetapi tewas di Langkawi dan Alor Setar. Manakala kerusi DUN pula menang di Kulim, Sidam, Bukit Selambau, Lunas dan Bakar Arang,” katanya.

Enam kawasan DUN yang menyaksikan PKR tewas pada PRU-12 lalu ialah Bukit Kayu Hitam, Bakar Bata, Gurun, Pedu, Kuah dan Derga. Sebanyak 16 kawasan DUN yang diwakili Pas ialah, Bandar Baharu, Kuala Ketil, Kupang, Jeneri, Kubang Rotan, Bukit Lada, Bukit Pinang, Ayer Hitam, Alor Mengkudu, Pantai Merdeka, Tanjung Dawai, Merbau Pulas, Anak Bukit, Tokai, Pengkalan Kundor dan Sungai Limau.

Mengulas mengenai kerusi yang disandang PKR yang menyaksikan wakil rakyatnya lompat parti, Zamri berkata, PKR tetap akan bertanding di kawasan berkenaan kerana ia kuota PKR, dan menyifatkan insiden itu adalah berpunca daripada sikap wakil rakyat dan bukannya parti.

“DUN Lunas dan Bakar Arang tetap akan diwakili PKR walaupun kedua-dua wakil rakyat berkenaan, Mohamad Radzhi Salleh dan Tan Wei Shu kini bebas,” katanya.

Menurutnya, bukan agihan kerusi yang perlu diberi keutamaan, tetapi yang paling utama ialah memastikan 22 kerusi DUN kekal milik PR bagi kelangsungan politik PR di Kedah.

“Jika semua ahli PKR, DAP dan Pas beri komitmen pasti Kerajaan PR mampu kekal di Kedah," katanya.

1 comment:

  1. orang lunas dah tak mau pkr di lunas...baik ak payah p mengundi dari sokong pkr lagi..penat penat bekerja, wakil rakyat cabut lari...kepala hotak depa...

    ReplyDelete