Wednesday, June 8, 2011

Kedah muncul sebagai pengeluar nanas kedua terbesar di negara ini

Pengeluar kedua terbesar

NAKA - Kedah muncul sebagai pengeluar nanas kedua terbesar di negara ini selepas Johor apabila kini giat menjalankan aktiviti penanaman nanas secara tanaman kontan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tanaman nanas mampu menjana ekonomi negeri selain memberi pulangan lumayan kepada petani sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh.

“Saya ingin menggalakkan petani di negeri ini supaya menceburi bidang penanaman nanas di atas tanah terbiar selain tanaman padi dan sayur-sayuran,” katanya selepas mengadakan lawatan ke projek penanaman mempelam chongkanan dan nangka madu di Kampung Kubang Juluk, dekat sini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Abdul Ghani Ahmad.

Menurutnya, tanaman nanas kini sedang giat diusahakan di Laka Temin seluas 56.66 hektar, selain di Kulim dan Merbok oleh pengusaha nanas persendirian.

“Selain nanas, tanaman yang berpotensi untuk dimajukan ialah mempelam yang juga mampu memberi pulangan yang baik kepada petani. Seluas 404.6 hektar tanah telah diserahkan kepada Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd (KLPK) di Padang Terap bagi membangunkan projek tanaman mempelam,” katanya.

Azizan berkata, Kerajaan Negeri serius membangunkan projek pertanian di negeri ini untuk manfaat rakyatnya, dan baru-baru ini telah melancarkan kempen satu rumah 10 pokok buah-buahan dalam usaha mengindahkan kawasan persekitaran kampung dan perumahan.

“Kempen seperti itu banyak manfaatnya, bukan sahaja untuk menghijaukan persekitaran malah beroleh hasil yang lumayan. Secara tidak langsung kempen itu mampu memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kebaikan bercucuk tanam,” katanya.

Menurutnya, bagi membangunkan projek tanaman mempelam secara besar-besaran, Kerajaan Negeri turut membawa produk mempelam dari Mesir bagi tujuan kajian dan penyelidikan, ketika lawatan kerja ke projek tanaman mempelam di kawasan padang pasir di Mesir.

“Kita akan buat penambahbaikan dalam mana-mana projek pertanian yang berpotensi,” katanya.

No comments:

Post a Comment