Wednesday, June 8, 2011

Sudah lebih 5 kali sejak 1996 lagi, namun sehingga kini masih lagi tiada sebarang jawapan dari KEDA

Putus asa mohon bantuan rumah

PENDANG – Seorang pemohon bantuan rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) berputus asa untuk terus memohon kepada pihak berkenaan kerana sehingga kini masih lagi tidak berjaya.

Mohd Fazli Abdul Kadir, 35, berkata, dia mengemukakan permohonan rumah kepada pihak berkenaan sudah melebihi lima kali sejak 1996 lagi, namun sehingga kini masih lagi tiada sebarang jawapan.

Menurutnya, dia sudah kecewa untuk terus mengharapkan bantuan rumah daripada pihak berkenaan kerana setiap kali permohonan dihantar, tetapi tiada apa-apa jawapan dan tindakan daripada pihak berkenaan.

“Saya menumpang di rumah mertua di Kampung Pokok Tai bersama lima anak sejak sekian lama menyebabkan saya memohon bantuan daripada pihak berkenaan beberapa kali, namun saya sudah kecewa untuk terus memohon bantuan itu.

“Dari isteri saya masih ada sehinggalah kini isteri saya sudah meninggal dunia impian untuk memiliki rumah sendiri masih lagi tidak kesampaian, namun selepas isteri saya tiada saya sudah berputus asa untuk memohon bantuan rumah lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fazli berkata, dia dan isterinya begitu mengharapkan bantuan rumah daripada pihak berkenaan, namun impian mereka tidak kesampaian apabila isterinya pergi meninggalkannya pada tahun lalu selepas melahirkan anak bongsunya.

“Setiap kali borang permohonan bantuan rumah keluar saya pasti tidak melepaskan peluang mengisi permohonan itu, namun tidak pernah berjaya dan saya tidak tahu di mana silapnya permohonan saya itu.

“Saya menghantar terus permohonan itu kepada pejabat Keda, namun permohonan itu hanya diam sahaja dan sepatutnya pihak berkenaan harus memaklumkan kepada pemohon supaya mereka tidak terus menaruh harapan memiliki rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment