oleh SRI DIAH
8/18/2011 8:51:42 AM
Tidak lama sahaja lagi kita semua akan menyambut Hari Raya Fitrah atau dikenali sebagai Aidilfitri. Inilah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan apabila orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah SWT.
Aidilfitri adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala besar di sisi Allah. Inilah puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam Tahun ini, entah tahun ke berapa saya tidak pasti. Rasanya sudah lebih dari lima kali. Dan setiap kali tiba detik berkenaan iaitu pada setiap kali menjelang Syawal, hati saya sebagai seorang isteri akan tersentuh. Wajah akan merona yang tidak menentu. Entah gembira. Entah kecewa.
Seperti orang lain, waktu lebaran adalah detik istimewa dalam meraikan kejayaan setelah selesai menjalani ibadat puasa sepanjang Ramadan. Semestinya pada 1 Syawal, keriangan itu wajib dinikmati bersama keluarga. Balik kampung!
Namun saya tidak ada kampung halaman. Saya anak kota Kuala Lumpur. Rumah ibu dan bapa pun di tengah kota kosmopolitan. Suasana berhari raya sudah lama seperti tidak ada rohnya setelah masing-masing meningkat dewasa. Sebab itulah lagu-lagu seperti Dendang Perantau, Balik Kampung dan sebagainya seperti lagu-lagu biasa sahaja, tidak ada sentimental langsung bagi saya, seorang anak kota.
Berkahwin dengan orang kampung, barulah suasana lebaran dirasai. Jika setiap hari saya berada dekat dengan keluarga sendiri, maka setiap hari raya saya dimestikan balik kampung suami. Ini syarat penting. Syarat ini berlangsung selama hampir 13 tahun. Saya akur. Tiada bantahan langsung.
Namun apabila kedua-dua ibu dan bapa mentua sudah tiada, tradisi itu makin pudar. Suami juga tidak lagi meletakkan syarat, baginya apabila kedua orang tua sudah tiada, kesyahduan Aidilfitri itu seperti sudah hilang serinya. Jika hendak menziarah ke pusara sebagai syarat balik berhari-raya di kampung, itu bukanlah wajib. Pusara itu boleh dilawat pada bila-bila masa sahaja.
Atas kematian ibu dan bapa mentua sejak beberapa tahun lalu, sepatutnya saya bergembira apabila giliran balik berhari raya ke kampung suami bukan lagi syarat wajib kami suami isteri.
Namun semenjak dua tahun lalu saya tetap tidak ceria pada hari raya kerana kini giliran ibu saya pula sudah meninggal dunia… demikianlah, erti kehilangan. Kepada yang masih ada ibu dan bapa, jangan tangguhkan kepulangan anda ke pangkuan ibu dan bapa pada hari raya nanti. Peluk dan kucup jari berkedut itu untuk memohon ampun maaf dan restu.
Kini prinsip Aidilfitri saya sudah berubah. Sewajarnya juga kesucian lahir dan batin ini menjadi motivasi untuk membentuk kesedaran saya membantu golongan yang miskin, anak yatim, warga emas dan asnaf. Saya berharap dengan kesedaran yang demikian akan membawa saya menjadi manusia bertakwa dan mendapat kemuliaan di sisi-Nya.
Kita renungi syair Arab; “Bukanlah hari raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun hari raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.”
Lagi beberapa hari sahaja… seisi keluarga di kampung, menanti kepulangan anda penuh sabar. Jangan hadiahkan mereka dengan air mata kehilangan akibat kematian di jalan raya. Memandulah dengan berhemah. Hargailah nyawa orang lain supaya orang lain menghargai nyawa kita.
Menjelang lebaran yang bakal tiba saya mohon ampun maaf zahir dan batin atas segala tulisan saya yang tidak berkenan di hati tuan dan puan. Salam.

No comments:
Post a Comment