Friday, October 21, 2011

Bab dok Sekat Guna Dewan Nie Sah kelaku Puak Otak Biru

Penduduk dihalang guna dewan

KODIANG - Tindakan pengurusan dewan orang ramai Kodiang menghalang penganjur Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kubang Pasu menggunakan kemudahan persekitaran dan dewan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan kepada masyarakat.

Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Basir Ismail berkata, tidak diketahui alasan pengurusan dewan berkenaan enggan menyerahkan kunci pagar serta dewan kepada mereka untuk menganjurkan program yang dijadualkan bakal berlangsung 26 Oktober ini.

Menurutnya, mengikut perancangan program sehari itu akan diadakan di kawasan lapang berhampiran dewan manakala bahagian dalam dewan digunakan untuk menempatkan gerai pameran pelbagai agensi seperti Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mengambil bahagian.

“Sepatutnya perkara ini tidak timbul kerana tapak yang dicadangkan itu milik MDKP walaupun pembinaan dewan berkenaan menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Tambahan pula program yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah program Kerajaan Negeri dengan melibatkan penduduk sekitar bukannya program berunsurkan politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Basir berkata, disebabkan masalah itu mereka terpaksa mencari tapak alternatif di kawasan berhampiran iaitu di Kompleks Perniagaan Taman Berjaya, pekan Kodiang untuk memastikan perjalanan program yang dirancang tidak tergendala.

“Kami amat kesal kerana orang ramai dihalang memanfaatkan kemudahan dewan sedangkan sebagai orang awam mereka berhak menggunakan segala kemudahan yang disediakan untuk mereka.

“Perancangan menggunakan dewan itu sudah dipersetujui penganjur program semenjak tiga bulan lalu. Walaupun permohonan untuk menyewa dewan daripada pemegang kuncinya dibuat dengan baik sebelum ini mereka tetap tidak membenarkannya,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis, Nordin Ahmad, berkata, antara aktiviti yang bakal diadakan sepanjang program seperti penyampaian geran tanah, pengagihan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Skim Kafalah.

“Dalam majlis itu juga akan diadakan jamuan rakyat serta sesi ramah mesra rakyat bertemu Menteri Besar.

“Walaupun sudah membuat keputusan akan mengadakannya di lokasi lain namun kami tetap berdepan dengan masalah apabila tapak kawasan yang dipilih itu lebih sempit serta tempat letak kereta lebih terhad,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, satu laman blog turut mendedahkan belum sempat Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan dewan itu kepada MDKP pada 2008, kerajaan bertukar tangan dan tiba-tiba pemilikan bangunan itu dirampas oleh parti politik.

1 comment:

  1. Saya tak faham sikit pasai berita ni.

    Yang buat bising adalah orang Majlis Daerah. Apa masalahnya kalau tempat yang sepatutnya dibawah kuasa Majlis Daerah, pihak penguatkuasa Majlis Daerah ambil balik kunci tu daripada puak-puak yang perasan depa ada hak.

    Kalau liat tak nak bagi jugak, bawalah pegawai penguatkuasa dan pegawai Bahagian Teknikal Majlis Daerah beberapa orang, tukarla kunci tu. Apa masalahnya???

    Bila dah berkuasa, kenala tau apa kuasa kita. Kalau bising tah apa-apa, nanti orang kata dah berkuasapun tak cerdik.

    Kena la tau macam mana sistem kerajaan kita berfungsi. Kita ada kerajaan Persekutuan, ada Kerajaan Negeri dan ada Kerajaan Tempatan. Tak kira la parti mana menangpun, sistem ni tetap tak berubah. Sampai la Perlembagaan kita diubah. Tak caya tanya Prof Aziz Bari (Takpa. Bab ni dia boleh komen sebab tak menyebabkan soal sultan)

    Kalau Kerajaan Persekutuan bagi peruntukan untuk kemudahan awam, yang menguruskan kemudahan itu adalah Kerajaan Tempatan. Kalau parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan adalah BN, dewan yang dibuat diatas peruntukan Kerajaan Persekutuan bukanlah untuk orang BN saja. Ianya adalah untuk orang ramai. Oleh itu, kalau dewan tu kat Kubang Pasu, Majlis Daerah Kubang Pasu la yang kena uruskan untuk rakyat kat situ. Sebab depa kerajaan Tempatan. Tak kiralah ahli Majlisnya kebanyakan adalah daripada Pakatan Rakyat. Yang ni kena faham elok....

    Zaman orang otak biru faham harta kerajaan persekutuan adalah harta depa dah jadi sejarah dah. Kalau ada lagi yang dok buat kelaku macam tu, depa tu dah sama dengan spesis dinosor. Kena ingat, orang yang sokong Pakatan Rakyat juga kena bayar macam-macam cukai kat kerajaan Persekutuan. Bayar cukai mana boleh pilih-pilih.. Dah tu, bila Kerajaan Persekutuan gunakan duit tu untuk projek kegunaan rakyat, Depa bukan boleh kata projek ni untuk orang BN saja. Kalau ada juga, baru la kita hingaq. Aku yang tak duduk di Kubang Pasupun akan sokong hampa kalau benda ni jadi.

    Tapi bukan la isu pasai orang BN tak nak bagi kunci dewan kat hampa lagu ni....

    ReplyDelete