Wednesday, December 14, 2011

55 kawah bubur Asyura di masak di PKWR Sungai Limau

images/stories/Disember2011/buboq1 2.jpgYAN - Sebanyak 55 kawah bubur Asyura disediakan oleh PAS Kawasan Jerai dengan kerjasama seluruh cawangan PAS Kawasan Jerai sempena sambutan Maal Hijrah.

Pegawai Khas Kepada Menteri Besar, Muzaini Azizan berkata, program cetusan idea Menteri Besar itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan kerjasama semua Unit Peti Undi (UPU) dalam Parlimen Jerai.

“Pada mulanya kita ingin menyediakan sebanyak 50 kawah sahaja tetapi memandangkan sambutan yang menggalakkan, sebanyak 55 kawah bubur Asyura disediakan sempena sambutan Maal Hijrah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program Asyura Perdana PAS Kawasan Jerai 2011 di Pejabat PAS Kawasan Jerai, Batu 15 ¼, Padang Lumat, Guar Chempedak, di sini.

Menurutnya, program yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 12 tengahari itu diadakan secara bergotong-royong.

“Seramai 400 petugas yang terdiri daripada kaum lelaki dan wanita bertungkus-lumus menyediakan bubur Asyura untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar kediaman Menteri Besar dan juga kepada wakil-wakil penduduk kampung yang lainnya,” katanya.

Muzaini memberitahu, antara bahan-bahan yang perlu disediakan untuk menyediakan bubur Asyura itu ialah kacang hijau, kacang kuda, kacang merah, ubi keledek, pisang, jagung, tepung beras, santan, gula putih dan gula merah.

Bagi PAS Induk, jelasnya, mereka hanya menyediakan tong gas dan setiap cawangan membawa petugas masing-masing di samping menyediakan kawah dan wayar tiub gas.

“Satu kawah bubur Asyura mengambil masa selama tiga hingga tiga jam setengah untuk masak,” katanya.

Beliau menjelaskan, program memasak bubur Asyura yang diadakan itu turut dipenuhi dengan program jamuan makan tengahari.

“Program memasak bubur Asyura ini merupakan program yang pertama kali diadakan dan program seperti ini juga turut dijalankan di kampung-kampung sempena sambutan Maal Hijrah,” ujarnya.

Pada majlis itu juga, Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyampaikan sumbangan berupa bubur Asyura kepada wakil-wakil penduduk di DUN Sungai Limau dan Parlimen Jerai.

Ahli Parlimen Jerai, YB. Ustaz Firdaus Jaafar turut mengadakan konvoi bermotosikal bagi menghantar bubur Asyura ke kampung-kampung.

No comments:

Post a Comment