YAN - Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM4,500 bagi menyediakan gelanggang futsal dan sepaktakraw di Kampung Setar, di sini.
Pegawai Khas Kepada Menteri Besar, Muzaini Azizan berkata, peruntukan yang disalurkan itu bertujuan untuk memberi kemudahan kepada golongan remaja dan belia untuk menjalankan aktiviti sukan.
“Penyediaan gelanggang futsal dan sepaktakraw ini diadakan secara bergotong-royong dan kita berharap dengan adanya gelanggang ini, ia secara tidak langsung dapat membantu golongan berkenaan untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai satu aktiviti riadah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup gotong-royong sempena Maal Hijrah di Kampung Setar, di sini.
Pada majlis itu juga, penduduk kampung turut menyediakan bubur Asyura dalam usaha merapatkan hubungan silaturahum antara satu sama lain.
Menurutnya, kerjasama daripada Pengerusi MKK, Jawatankuasa MKK serta penduduk kampung amat diperlukan dalam menjayakan hasrat ini.
“Objektif utama program ini diadakan adalah untuk mengikat tali persaudaraan di samping dapat menyelesaikan permasalahan dari segi kebersihan serta berganding bahu bersama anak-anak muda agar persekitaran kampung berada dalam keadaan bersih dan indah,” katanya.
Muzaini memberitahu, Menteri Besar juga begitu dekat dengan kampung berkenaan dan beliau banyak membantu dalam meluluskan permohonan terutama melibatkan kemudahan paip air masyarakat sejauh dua kilometer di kampung itu.
“Kerjasama antara penduduk di sini amat baik sekali dan kita berharap peruntukan yang disalurkan ini dapat digunakan dengan sebaiknya,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, masalah banjir sering berlaku di kampung ini.
“Peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kerajaan Pusat sudah diluluskan bagi mendalamkan dan meluaskan sungai dari Kepala Bukit hingga Sungai Udang,” katanya.
Tambahnya, projek yang dilaksanakan itu adalah bertujuan untuk mengatasi masalah banjir dan ia turut mendapat kerjasama daripada Ketua Kampung dan juga Menteri Besar.
“Dengan adanya projek ini, ia secara tidak langsung dapat mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kampung ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment