Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh rakyat untuk turun ke Himpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April 2012 bermula jam 2.00 petang bertempat di Dataran Merdeka. Perhimpunan ini amat penting bagi memastikan perjalanan pilihanraya ke 13 nanti benar-benar bersih dari sebarang penipuan.
Sejarah akan mencatatkan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah solidariti rakyat yang mahukan amalan demokrasi benar-benar tertegak di negara ini. Rakyat tidak rela diperkotak-katikkan dengan pelbagai penipuan oleh kerajaan UMNO-BN. Selama 55 tahun negara ini dirundung kemuraman dan kegelitaan kerana demokrasi yang mati.
Sistem pilihanraya adalah penentu hidup dan mati demokrasi di negara ini. Sistem pilihanraya yang pincang akan memincangkan seluruh amalan demokrasi negara. Kebebasan berhimpun, bersuara, berpersatuan, berpolitik, dan lain-lain lagi tidak akan menjadi realiti sekiranya sistem pilihanraya di negara ini masih terkongkong dan dikawal rapi oleh parti pemerintah. Kekangan dalam sistem pilihanraya menandakan kerajaan BN tidak rela demokrasi tertegak sepenuhnya. Tindakan kerajaan BN berlunak dengan pelbagai pembaharuan adalah kosmetik semata-mata bagi mengabui mata rakyat untuk mendapatkan sokongan.
DPPM mengingatkan rakyat jika kehadiran rakyat kurang dari sasarannya, tidak akan ada pembaharuan dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan sistem pilihanraya di negara ini bersih dan adil. Tuntutan Bersih 2.0 sebelum ini hanya dilayan dan dilaksanakan satu sahaja daripada lapan yang dituntut. Jawatankuasa Khas bagi penambah baikan sistem pilihanraya (PSC) pula adalah tempelan bagi menunjukkan seolah-olah kerajaan telah membuat perubahan yang hakikatnya hanya sedikit dari sekian banyak desakan pembaharuan dibuat.
Pendedahan Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Datuk Mahfuz Omar mengenai kewujudan task force pemberian kad pengenalan palsu yang diketuai oleh beberapa kakitangan tinggi kerajaan mengesahkan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 wajib diadakan dan perlu disertai oleh semua rakyat di negara ini. DPPM yakin, Bersih 3.0 sebagai usaha menghalang penipuan task force ini.
Rakyat perlu bangkit menjadi hakim kepada pengkhianat negara yang sanggup menjual kedaulatan negara kepada warga asing. DPPM menganggap Bersih 3.0 sebagai benteng dan harapan terakhir rakyat bagi mengekang ‘grand design’ penipuan terbesar BN dalam PRU ke 13. Jika tidak rakyat terpaksa berdepan dengan ribuan pengundi luar negara yang diberikan kad pengenalan dan hak mengundi dalam pilihanraya kali ini. Tidak akan ada lagi ruang demokrasi di negara ini jika BN terus memerintah dengan sokongan daripada warga asing yang diberikan hak mengundi!
No comments:
Post a Comment