Tuesday, May 15, 2012

Ladang Sejahtera wujudkan peluang pekerjaan

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

PENDANG – Ladang Sejahtera yang diwujudkan kerajaan negeri adalah bertujuan memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk luar bandar serta membantu pertumbuhan ekonomi negeri Kedah.

Pada asalnya diberi nama Ladang Rakyat, selepas itu disyorkan dengan nama Ladang Sejahtera yang bersesuaian dengan moto Kedah Sejahtera. Pelaksanaan ladang ini juga adalah bertujuan memartabatkan penglibatan rakyat dalam arus pembangunan negeri bagi mencapai matlamat kesejahteraan dan kenikmatan untuk semua.

Ladang ini dibangunkandan diurus oleh Kedah Agro Integrated Plantations Sdn Bhd sebagai agen pelaksana dan merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKED).

Pembangunan kawasan ladang ini memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan pemberian saguhati kepada mereka yang miskin.

Pada peringkat awal seramai 1,144 peserta telah terpilih dari daerah-daerah berikut iaitu 263 peserta dari daerah Baling, 154 bagi daerah Padang Terap, 503 peserta dari daerah Sik, 60 peserta dari daerah Pendang, 31 peserta bagi daerah Bandar Baharu dan 133 peserta dari daerah Langkawi.

Pengeluaran saguhati berdasarkan keluasan ladang yang telah mengeluarkan hasil. Hasil ladang juga turut disumbangkan kepada institusi pendidikan negeri dan pelajar-pelajar miskin.

Sehingga kini, seluas 13,325 hektar telah dikenalpasti dan dimiliki untuk dibangunkan sebagai Ladang Sejahtera termasuk Ladang Gunung Inas, Baling seluas 5,000 hektar. Kerajaan negeri juga menyasarkan 20 ribu hektar sehingga tahun 2016. Sebahagian besar ladang ini akan ditanam dengan getah berklon balak terpilih.

No comments:

Post a Comment