ALOR SETAR – “Kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”. Mungkin itu peribahasa yang sesuai digambarkan kepada Ketua Pembangakang, YB Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid yang mendakwa Kolej Universiti Insaniah (INSANIAH) alami krisis kewangan.
Dalam dakwaan tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu mendakwa INSANIAH yang merupakan kolej universiti milik kerajaan negeri gagal menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), potongan zakat dan ansuran bank bagi perumahan dan kenderaan walaupun gaji pekerja dipotong setiap bulan untuk tujuan itu.
Menjelas dakwaan tersebut, Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, semasa Mahdzir Khalid menjadi Pengerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), hutang kepada KWSP sebanyak RM838,983 hingga kes ini dibawa ke mahkamah.
“Bayaran PERKESO bukan hari ini minta, hari ini bayar, KWSP kita buat potongan, tetapi bukan macam beli petai tepi jalan.
“Isu lambat bayar ini bukan perkara baru, malah semasa saya ambil alih KFA, hutang ratusan ribu kepada KWSP, dan sebahagian lembaga pengarah didakwa di mahkamah, maka kerajaan (sekarang) yang kena tanggung rugi dan terpaksa bayar, semasa tu Mahdzir Khalid jadi Pengerusi KFA, INSANIAH tak sampai kes ke mahkamah lagi,” jelas beliau.
Menerusi laporan Harian Metro bertarikh 1 November 2008, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mendedahkan KFA mengetuai senarai sembilan persatuan bola sepak negeri yang gagal menjelaskan tunggakan caruman KWSP.
Sementara itu, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan sempat menyindir kerajaan persekutuan yang masih berhutang dengan kerajaan negeri sebanyak RM216.5 juta.
No comments:
Post a Comment