ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan membuka peluang pelaburan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa yang ingin bekerjasama dalam membangunkan negeri Kedah.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad berkata peluang pelaburan itu dibuka bagi menambahkan lagi pendapatan Kedah selain membantu menaikkan nama bandaraya Alor Setar.
"Di Alor Setar sahaja, banyak hartanah dan bangunan strategik yang masih belum dipelopori," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata hartanah-hartanah berkenaan masih belum memberi pulangan kepada Kedah, justeru itu pihaknya mengambil langkah dengan membuka peluang pelaburan kepada sesiapa sahaja yang ingin melabur.
"Hasil pelaburan ini akan disalurkan kepada MBAS bagi membolehkan kami memperbaiki lagi kekurangan yang terdapat di Kedah. Kedah kini mempunyai mercu tanda terbaharu iaitu Aman Central dan diharap ini dapat menarik lagi minat para pelabur untuk melabur," katanya.
Bagi para pelabur yang berminat untuk bekerjasama dengan MBAS membangunkan Kedah boleh menghubungi terus pejabat MBAS di talian 04-7332499. - Bernama
No comments:
Post a Comment